fbpx
Sebahagian penduduk yang mengadakan piket aman mendesak pihak berkuasa tempatan menyelesaikan masalah anjing liar dan jalan rosak di Kampung Beris Lalang, Bachok semalam. – TOREK SULONG

Anjing makan ayam kampung, itik

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

BACHOK – Masalah bau busuk di sebuah tapak pelupusan sampah berdekatan Kampung Beris Lalang di sini didakwa penduduk menjadi punca kepada pembiakan anjing liar di kawasan tersebut.

Penduduk juga mendakwa kawasan berkenaan menjadi tempat pembuangan anjing oleh pihak tidak bertanggungjawab, sekali gus mengancam haiwan ternakan sejak lapan bulan lalu.

Seorang penduduk, Nik Mohd. Aiman Haikal Raja Dollah, 24, berkata, dia mengalami kerugian RM5,000 apabila ayam kampung dan itik ternakannya dimakan sekumpulan anjing liar.

Menurut beliau, pihak yang membuang anjing di kawasan berkenaan beranggapan pusat pelupusan sampah itu mempu­nyai banyak sisa makanan yang sesuai untuk haiwan liar hidup berdikari.

“Selain ayam, ternakan biri-biri dan anak lembu turut dibaham anjing liar yang aktif mencari makanan pada tengah malam dan awal pagi,” katanya ketika ditemui pada piket aman di Kampung Beris Lalang di sini semalam.

Tapak pelupusan sampah di Kampung Beris Lalang, Bachok yang menjadi lokasi anjing liar membiak.

Seorang lagi penduduk, Suhaimi Dollah, 41, berkata, lebih 10 ekor biri-biri ternakan penduduk dimakan oleh kira-kira 50 ekor anjing liar yang lazimnya berkeliaran pada setiap awal pagi.

“Kami mendesak pihak berkuasa membantu penduduk menangkap anjing-anjing itu dengan segera. Bukan setakat ternakan, keselamatan penduduk juga terancam dengan kehadiran anjing liar itu,” katanya.

Sementara itu, Pengerusi Jawatankuasa Keamanan Kampung (JKKP) Beris Lalang, Kamarizan Fauzi berkata, penduduk Kampung Gong Nibong yang berdekatan dengan lokasi pembuangan sampah turut mendesak supaya jalan utama yang rosak teruk segera dibaiki.

Menurutnya, jalan sepanjang dua kilometer mengalami kerosakan teruk dan perlu dibaiki segera sama ada oleh kerajaan negeri atau kerajaan Persekutuan.

“Anjing liar dan kerosakan jalan adalah isu utama. Penduduk sudah tidak tahan dengan bau busuk kawasan sampah dan jalan yang sering rosak terutama­nya pada musim hujan,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN