Baru-baru ini Kosmo! menyiarkan luahan seorang pembaca mengenai keluh-resah penduduk Shah Alam, Selangor yang trauma dengan banjir.
Menerusi luahan itu, pembaca berkenaan mengatakan orang Shah Alam tidak mahu lagi episod mendukacitakan yang berlaku pada Disember 2021 kembali berulang.
Bencana alam itu menyebabkan mereka mengalami kerosakan harta benda yang teruk, trauma dan sehingga kini episod malang berkenaan masih berbekas dalam diri. Setiap kali hujan, orang Shah Alam trauma air naik.
Penulis juga orang Shah Alam yang merupakan salah seorang mangsa kerosakan harta benda.
Ketika itu, air naik sehingga paras dada dan bencana alam itu menyebabkan barang elektrik rosak dan kerosakan kekal pada rumah seperti pintu, cat dan sebagainya.
Air naik selepas hujan selama tiga hari berturut-turut dan lebih menyedihkan, kami berdepan dengan banjir termenung apabila air tidak surut selepas tiga hari.
Bagi orang berduit mungkin barangan yang rosak boleh dibeli tetapi bagi yang kais pagi makan pagi trauma dan kerugian itu sangat memeritkan.
Ketika ini, setiap kali hujan pastinya berlaku banjir kilat, hujan tidak menentu sepanjang tahun.
Kawasan yang tidak pernah dilanda banjir sebelum ini turut terkena tempias seperti yang berlaku bulan lalu, iaitu di Kota Kemuning dan Seksyen 13.
Sampai bila orang Shah Alam perlu hadap banjir kilat disebabkan taburan hujan yang tinggi. Ya, rakyat maklum mengenai perubahan iklim, taburan hujan sentiasa luar biasa tidak kira masa.
Apa yang rakyat mahu tahu penambahbaikkan yang dilakukan pihak berwajib bagi mengatasi isu yang seolah-olah tidak berkesudahan ini.
Di media sosial banyak hasut maya (troll) dibuat oleh netizen soal ini apabila mereka mengatakan kalau banjir di Pantai Timur ramai menyalahkan kerajaan negeri, jika banjir di Selangor cuaca ekstrem dan longkang tersumbat yang salah.
Hujan dua jam sudah naik air, kereta terperangkap tengah jalan, itu yang berlaku di Shah Alam Bandar Anggerik.
Tolonglah cari jalan alirkan air hujan ‘luar biasa’ itu ke kawasan yang sepatutnya bukannya masuk rumah penduduk.
Penulis sebagai pemastautin tetap di negeri Darul Ehsan ini sangat sayangkan negeri tempat ramai rakyat cari makan ini.















