fbpx
KEBANYAKAN penduduk Kampung Lawar di Jeli berkurung di kediaman masing-masing kerana takut harimau memasuki penempatan mereka.

Penduduk berkurung takut harimau Jeli

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JELI – Ribuan penduduk dan peniaga di Kampung Lawar, Pergau di sini kini hidup dalam ketakutan meskipun seekor harimau belang yang dipercayai membaham seorang lelaki di daerah ini minggu lalu sudah memasuki perangkap kelmarin.

Biarpun lokasi kejadian sera­ngan terletak 12 kilometer (km) dari kampung mereka, namun penduduk mengambil langkah berjaga-jaga berkurung di dalam rumah masing-masing.

Selain itu, peniaga kedai makan turut menutup premis ma­sing-masing sejak kelmarin ke­rana bimbang akan serangan haiwan liar tersebut.

Seorang peniaga kedai makan, Abdul Manaf Abdul Rahman, 73, yang menjual nasi berlauk di kampung tersebut mengakui bimbang untuk membuka premisnya pada waktu pagi.

SEBUAH kedai makan di Kampung Lawar, Pergau, Jeli ditutup selepas kejadian serangan harimau belang di daerah itu minggu lalu.

Katanya, kebanyakan penduduk Kampung Lawar juga berkurung di kediaman masing-masing kerana takut harimau memasuki penempatan mereka.

“Selepas kejadian serangan harimau di ladang cili di Batu 18, Jalan Raya Timur-Barat (JRTB) Jeli-Gerik pada Khamis lalu, kebanyakan pelanggan yang datang ke kedai masih bercakap mengenai kes tersebut.

“Kebanyakan penduduk termasuk saya percaya ada lagi harimau belang berhampiran kawasan ini.

“Ada rakan-rakan saya mendakwa mereka terdengar bunyi ngauman harimau selepas seekor haiwan itu memasuki pe­rangkap yang dipasang Perhilitan (Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara) baru-baru ini,” katanya kepada Kosmo! semalam.

Difahamkan, terdapat bebe­rapa buah kedai makan di sepanjang JRTB ditutup kerana tidak mahu menanggung risiko sekiranya berlaku lagi serangan pak belang meskipun jaraknya jauh dari lokasi kejadian.

HARIMAU yang ditangkap Perhilitan di Jeli kelmarin.

Abdul Manaf berkata, hari­mau belang yang memasuki pe­rangkap Perhilitan kelmarin terletak 12km dari rumahnya dan 200 meter dari lokasi lelaki ­Myanmar ditemukan maut dalam keadaan mengerikan de­ngan paha kirinya putus.

Seorang lagi pemilik kedai makan, Che Esah Mohamad, 71, memberitahu, dia bimbang selepas mengetahui kejadian seorang lelaki asing dibaham harimau, lebih-lebih lagi perlu bangun awal pada pukul 4 pagi untuk memasak.

“Walaupun ditemani suami, masih terbayang-bayang gambar lelaki yang maut dibaham harimau belang baru-baru ini.

“Kami tetap berjaga-jaga walaupun seekor harimau sudah masuk perangkap. Tidak mustahil ada lagi haiwan liar itu di kawasan hutan berhampiran,” ujarnya.

Sementara itu, penduduk, ­Anuar Lah, 48, berkata, kebanyakan mereka yang tinggal di Kampung Lawar mengambil keputusan mengurung diri di dalam rumah sekiranya tiada urusan penting di luar.

Menurut warga emas itu, dia dan kebanyakan penduduk masih trauma dengan berita kematian seorang lelaki yang dibaham pak belang tidak jauh dari kampung tersebut.

“Kami takut melihat gambar mangsa yang tular di media sosial. Kami tidak mahu dibaham harimau, jadi lebih baik duduk di rumah jika tiada urusan penting di luar,” katanya.

SUASANA sunyi pada siang hari di Kampung Lawar, Pergau di Jeli selepas kejadian serangan harimau belang beberapa hari lalu.

Dalam pada itu, pengusaha inap desa, Rumaizah Mohd. Safein, 50, berkata, beberapa inap desa miliknya yang menjadi tumpuan pengunjung ke Lata Mawo dan Lata Terbon di sini sunyi tanpa tempahan sejak kejadian serangan harimau di daerah tersebut minggu lalu.

“Saya ambil langkah berjaga-jaga dengan tidak membuka tempahan kerana tidak mahu kejadian yang tidak diingini berlaku.

“Ada pengunjung bertanya mengenai inap desa baru-baru ini kerana mereka tidak tahu kejadian serangan harimau tersebut. Selepas diberi penerangan, mereka membatalkan hasrat untuk ke sini.

“Buat masa ini, saya hanya membenarkan pengunjung da­tang­ ke sini pada waktu siang, sebelah malam akan ditutup. Saya difahamkan, Perhilitan sudah menasihati orang ramai supaya tidak mengunjung Lata Mawo dan Lata Terbo demi ke­selamatan orang ramai,” katanya.

Ketua Polis Daerah Jeli, Superintendan Saari Yaacob turut menasihatkan orang ramai ter­utama penduduk setempat supaya berhati-hati ketika keluar bekerja bagi mengelak kejadian yang tidak diingini.

“Orang ramai yang melihat atau tahu mengenai kehadiran harimau di kampung mereka dinasihatkan supaya menyalurkan segera maklumat kepada pihak berkuasa,” katanya. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN