SHAH ALAM – AEON CO. (M) BHD (AEON) akan terus memastikan produk jualan khususnya barangan import yang dijual kepada pelanggan di seluruh rangkaiannya memiliki logo halal daripada Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim).
Pengerusinya, Datuk Iskandar Sarudin berkata, pihaknya juga akan turut menitikberatkan kualiti dan kebersihan setiap produk yang ditawarkan di pasaran agar dapat memenuhi keperluan pelanggan.
“Kami sentiasa komited di dalam memastikan semua produk makanan sedia untuk dimakan memenuhi piawaian pensijilan halal tertinggi.
“Sebagai peruncit yang mempunyai rangkian ekosistem yang luas, kami akan memastikan terdapat logo halal yang sah terutamanya untuk produk import.
“Bagi menyokong inisiatif tersebut, kami telah menubuhkan Jawatankuasa Halal AEON pada tahun 2010 dan Sistem Jaminan Halal untuk memantau segala aktiviti pemilihan, penerimaan, penyediaan dan jualan produk,” katanya.
Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Program Makanan Halal: Selera Sedunia yang telah disempurnakan oleh Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr. Mohd Na’im Mokhtar di sini baru-baru ini.
Program anjuran kerjasama Jakim dan disokong oleh Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup serta Universiti Sains Islam Malaysia selama dua hari di pusat beli-belah AEON Mall Shah Alam itu bertujuan untuk meningkatkan kesedaran masyarakat tentang produk serta perkhidmatan halal.
Iskandar berkata, setiap cawangan mempunyai audit dalaman halal yang dilaksanakan oleh juruaudit bahagian pengurusan kualiti dan pegawai halal.
Tambah beliau, AEON merupakan peruncit tempatan pertama yang menerima pensijilan halal untuk produk sushinya dan telah memegang lebih daripada 130 sijil halal bagi makanan yang dihasilkan di dapur mereka. -KOSMO! ONLINE