fbpx

K2

Adakah wujud hukum karma dalam Islam?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
TIDAK wujud konsep karma dalam Islam kerana setiap yang terjadi di alam ini merupakan kehendak Allah SWT. – Gambar hiasan

Saya selalu terbaca di media sosial bahawa jika seseorang berbuat jahat, maka dia akan dibalas dengan hukum karma. Benarkah wujud hukum karma dalam Islam?

Jawapan: Karma merupakan suatu konsep yang berasal daripada bahasa sanskrit dan mempunyai asas kepercayaannya dalam Hinduisme, Buddhisme dan Jainisme.

Konsep karma ini mula dijumpai di dalam teks lama Hindu iaitu Rigveda, dan kemudiannya dikembangkan perbincangannya di dalam Upanishad.

Secara terminologi, karma bermaksud ‘perbuatan yang memberi kesan kepada hasil atau keputusan’, dan seterusnya difahami sebagai konsep ‘timbal balik’ atau ‘sebab akibat’ daripada perbuatan seseorang manusia di atas dunia.

Sebagai contoh, jika seseorang itu melakukan perbuatan murni seperti menolong orang lain, berlaku adil sesama manusia atau menjaga ibu bapa dengan baik, maka ia akan menghasilkan balasan baik di kemudian hari.

Konsep ini kemudiannya berkembang menjadi falsafah moral dan etika sehingga dianggap sebagai undang-undang universal.

Menurut kajian, konsep karma yang berasal daripada falsafah Hinduisme ini menerangkan bahawa wujudnya prinsip kausaliti universal iaitu hukum asas dunia berkaitan sebab dan akibat daripada perbuatan seseorang manusia.

Seseorang manusia itu tidak boleh lari daripada melakukan sebarang perbuatan dan tindakan sama ada baik atau buruk. Konsep karma ini memberi kesan kepada beberapa peringkat hidup seperti kelahiran semula, di mana jika seseorang itu berlaku zalim, maka dia akan dilahirkan semula sebagai makhluk hina. Sebaliknya jika seseorang itu berlaku adil dan mulia, maka dia akan dilahirkan semula sebagai ciptaan terpuji. Karma juga mempunyai tiga peringkat pembalasan iaitu sachinta karma (masa yang telah berlalu/karma yang telah berlaku), prarabdha karma (karma yang sedang berlaku/kesan daripada karma yang dahulu) dan agami karma (karma pada masa hadapan yang ditentukan melalui karma sedang berlaku). Justeru, karma dilihat sebagai undang-undang pembalasan moral atau undang-undang kosmos yang membalas perbuatan baik dan perbuatan buruk.

Meyakini bahawa ada kuasa lain yang memberi kesan selain daripada Allah SWT boleh membawa kepada kekufuran. Akidah Islam menyatakan bahawa semua perkara yang berlaku adalah dengan kuasa dan kehendak Allah.

Setiap yang terjadi di alam ini kesemuanya adalah ketentuan dan kuasa daripada Allah SWT.

Konsep karma yang ada dalam agama Hindu jelas bercanggah dengan akidah Islam. Islam meyakini bahawa segala kejahatan yang dilakukan oleh manusia akan dibalas sama ada di dunia mahupun akhirat.

Diriwayatkan bahawa Nabi SAW bersabda:“Kebaikan tidak akan pudar, dosa tidak akan dilupa, al-Dayyan (Allah yang Maha Membalas segala amalan hambanya) tidak akan mati, jadilah seperti mana yang kamu ingin, seperti mana yang kamu lakukan kamu akan dibalas.”

Dapat disimpulkan bahawa tidak wujud konsep karma dalam Islam. Setiap orang perlu meyakini bahawa apa yang berlaku di dunia ini merupakan kehendak dan kuasa daripada Allah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI