PERKEMBANGAN teknologi dalam sektor pertanian telah membuka ruang kepada pelbagai inovasi jentera dan sistem bagi memudahkan petani menguruskan ladang atau kebun mereka.
Peluang itu juga memberi kesempatan kepada jurutera dan penyelidik menghasilkan lebih banyak peralatan canggih untuk kegunaan pertanian moden.
Seiring dengan perkembangan itu, pengasas syarikat teknologi, LesQ Innovations, Tan Shu Qing berkata, syarikatnya turut memajukan sektor pertanian dengan inovasi dron agrikultur.
Menurut Shu Qing, dron agrikultur atau pertanian dihasilkan dengan pelbagai fungsi daripada pemetaan, pengurusan kesihatan tumbuhan, menyembur racun dan nutrien serta menabur baja.
“Inovasi dron pertanian ini dihasilkan sebagai usaha untuk memberi kemudahan kepada petani melakukan kerja pengurusan dan penjagaan ladang atau kebun secara menyeluruh dalam masa singkat.
“Ini bermaksud, petani boleh menggunakan dron untuk pelbagai tujuan daripada peringkat awal bertani seperti memetakan lokasi tanaman, taburan benih sehingga penjagaan seperti meracun atau membaja tumbuhan,” katanya.
Shu Qing ditemui semasa Pameran Pertanian, Hortikultur dan Agro Pelancongan Malaysia (MAHA) 2024 di Taman Ekspo Pertanian Malaysia (MAEPS), Serdang, Selangor baru-baru ini.
Dengan penggunaan dron, petani boleh menguruskan ladang atau kebun mereka menerusi alat kawalan dan skrin bagi mengenal pasti sebarang masalah sebelum keadaan menjadi lebih teruk.
Berkongsi tentang proses penghasilan dron pertanian, graduan sarjana sains dalam bidang teknologi pertanian itu berkata, kajian penyelidikan dan pembangunan (R&D) mengambil masa selama dua hingga tiga tahun sebelum produk akhir boleh beroperasi sepenuhnya.

Katanya, pengendalian dron pertanian direka lebih mesra pengguna supaya ia boleh digunakan dengan mudah meskipun dikendalikan oleh petani.
“Dron perlu digunakan dengan sistem posisi sejagat (GPS) rover, aplikasi telefon dan alat kawalan jauh untuk merancang penerbangan serta melancarkan penerbangan dron.
“Ia juga dilengkapi bateri tahan lama serta julat pengukuran sehingga 10 meter, kapasiti tangki antara 16 hingga 20 liter dengan kelajuan maksimum penerbangan 10 meter sesaat,” ujarnya.
Kongsinya lagi, meskipun inovasi dron buat masa ini hanya melibatkan proses pengurusan pertanian, namun, masih banyak tambah baik yang boleh dilakukan terhadap dron pertanian.
Antaranya, penggunaan fungsi dron secara offline bagi membolehkan petani menggunakan peralatan itu di kawasan yang mempunyai sambungan rangkaian lemah.
“Kita masih lagi dalam usaha untuk menambah baik fungsi serta kepelbagaian dalam penggunaan dron untuk sektor pertanian.
“Kami percaya bahawa dron akan menjadi sebahagian dalam budaya bertani pada satu hari nanti.
“Ini boleh dilaksanakan dengan kemajuan fungsi dron yang lebih menyeluruh untuk aktiviti pertanian,” jelasnya.
Ujarnya lagi, sehingga hari ini, sudah ramai petani yang mula menunjukkan minat untuk menggunakan dron dalam pengurusan ladang.
Jelasnya, mereka juga telah mengambil langkah mengadaptasi teknologi bagi menambah baik produktiviti.














