PETALING JAYA – Penghuni tingkat enam Flat Projek Perumahan Rakyat (PPR) Lembah Subang 1 di sini menarik perhatian ramai selepas melakukan dekorasi di ruang lobi lif tidak ubah seperti hotel sehingga tular di media sosial baru-baru ini.
Inisiatif itu dilakukan oleh penduduk dengan memilih tema hotel untuk menyertai pertandingan dekorasi anjuran organisasi, Think City.
Ketua tingkat itu, Nor Hidayah Sulaiman, 41, berkata, kerja-kerja menghias lobi lif itu dilakukan secara gotong-royong menggunakan dana yang dikutip daripada penduduk berjumlah RM3,000.
“Terdapat 14 buah rumah di tingkat ini. Kerja-kerja dekorasi dibuat selepas mendapat persetujuan tema dan kos.

“Penganjur menyediakan peruntukan RM500, namun jumlah itu tidak mencukupi jadi kami ambil inisiatif mengumpul wang yang diberikan dengan seikhlas hati,” katanya ketika ditemui Kosmo! semalam.
Menurut Nor Hidayah, proses itu mengambil masa dua minggu dengan penghuni wanita bertanggungjawab menghias ruang, memilih warna cat, menyusun pokok dan dekorasi dinding.
“Penduduk lelaki pula terlibat dalam kerja pertukangan seperti memasang jubin, hiasan dinding dan lampu,” katanya.
Jelasnya, penduduk memilih tema hotel kerana mahukan kelainan walaupun berdepan dengan kekangan bajet.
“Kami membuat tinjauan di kedai bagi mendapatkan barangan pada harga murah. Kebanyakan barangan dibeli secara dalam talian. Lampu ‘chandelier’ misalnya berharga RM100, tetapi tampak mewah,” jelasnya.
Tambahnya, penduduk di tingkat itu sudah lama menyimpan hasrat untuk mengubah suai ruang tersebut dan akhirnya ia dicapai menerusi penganjuran pertandingan tersebut.
Pertandingan itu bukan hanya melibatkan blok tertentu, tetapi seluruh PPR Lembah Subang 1. Penganjuran itu bukan hanya untuk meraih hadiah, tetapi bagi merapatkan hubungan silaturahim sesama penduduk.














