fbpx
Seorang petani resah memikirkan tanaman padi yang diusahakan rosak ekoran kejadian banjir yang melanda Kampung Paya Tok Teh, Jitra baru-baru ini. – SHAHIR NOORDIN

Duit pesawah jadi hitam

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

JITRA – Ketika pesawah lain sudah berkira-kira untuk memperoleh hasil tuaian, ada golongan itu yang diuji apabila tanaman mereka rosak ekoran bencana banjir baru-baru ini.

Rata-rata pesawah mengakui sedih melihat sawah mereka bertukar menjadi hitam dan dipenuhi sampah sedangkan padi-padi tersebut kini menunggu masa untuk dituai.

Menurut Murni Majid, 60, dia bingung memikirkan keadaan sawah seluas 4.5 hektar yang di­usahakannya musnah akibat bencana alam tersebut.

“Saya hanya menunggu giliran mesin jentuai untuk menuai ke­rana semua padi sudah masak, namun belum sempat tiba giliran saya, padi-padi itu sudah ditenggelami banjir.

“Kini segalanya musnah dan saya tidak tahu bagaimana untuk membayar sewa bendang. Apabila jadi begini memang sedih lebih-lebih lagi saya seorang ibu tunggal dan menanggung anak yang masih menuntut di Universiti Malaysia Perlis.

“Jadi saya amat mengharap­kan bantuan kerajaan dalam berdepan ujian berat ini,” katanya selepas menerima sumbangan bakul makanan daripada Kementerian Pertanian dan Ke­terjaminan Makanan (KPKM) di Kampung Paya Tok Teh di sini semalam.

Sumbangan itu disampaikan oleh Pengerusi Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP), Datuk Mahfuz Omar.

Seorang lagi pesawah, Mustafa Dun, 74, dari Kampung Biak di sini meluahkan rasa sayu melihat tanaman padi yang diusahakannya sebelum ini ditenggelami air sebanyak dua kali dalam tempoh seminggu.

“Selain sawah, rumah saya turut tenggelam akibat banjir. Beberapa barangan seperti karpet dan almari rosak.

“Sedih juga apabila me­ngenangkan keadaan sawah yang bertukar hitam kerana dimasuki air kotor.

“Hasil yang akan saya peroleh daripada sawah itu kelak akan digunakan untuk membayar upah jentera. Harap-harap hasilnya masih mencukupi untuk mencuci rumah yang tenggelam bah,” kata lelaki itu.

Bagi Arman Majid, 58, dia menjang­kakan padi yang rosak akibat banjir tersebut sukar dibeli oleh pengilang dan akan dijadikan makanan haiwan ternakan seperti ayam.

“Kalau jual pun, harganya pasti banyak menyusut berdasarkan penilaian mutu padi. Dengan kos tinggi ketika ini, kejadian banjir ini benar-benar menguji kami (pesawah).

“Jadi kami amat harap kerajaan dapat membuat pertimbangan sewajarnya untuk meringankan beban pesawah,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN