Perbuatan sabotaj dan penggodaman beribu-ribu peranti awam terutamanya alat kelui, walkie-talkie dan telefon bimbit di Lebanon minggu lalu telah meragut puluhan nyawa termasuk dua kanak-kanak sekali gus membuka ‘kotak pandora’.
Serangan yang disasarkan terhadap kumpulan Hizbollah itu jelas melanggar garisan merah dalam peperangan.
Sebelum ini, perbuatan menjadikan peranti awam sebagai senjata pembunuh pada skala begitu besar tidak pernah berlaku, malah tidak pernah terlintas dalam fikiran.
Risiko ini juga tidak dibincangkan secara terbuka kerana boleh mencetuskan kegusaran orang ramai.
Namun, perkara ditakuti itu telah benar-benar berlaku. Ia berlaku buat kali pertama, maka kebimbangan bahawa serangan serupa boleh terjadi pada masa hadapan adalah munasabah.
Lebih membimbangkan, sekiranya teknologi menghasilkan ‘jerangkap samar’ peranti awam itu jatuh ke tangan kumpulan militan kerana implikasinya kepada keamanan adalah sangat buruk.
Susulan siri serangan itu, lapangan terbang utama di Beirut dan beberapa syarikat penerbangan Asia Barat lain melarang penumpang membawa alat kelui dan walkie-talkie semasa menaiki pesawat.
Dua gelombang serangan pada Selasa dan Rabu minggu lepas turut mengakibatkan hampir 3,000 orang cedera di serata Lebanon selain 32 orang yang terbunuh. Tentera Lebanon menyeru rakyat melaporkan kemunculan objek mencurigakan susulan laporan mengenai peranti elektronik lain seperti telefon pintar atau panel solar meletup.
Era senjata konvensional seperti peluru berpandu, mortar, mesingan kini ditambah dengan potensi peranti awam yang menggunakan bateri sama ada litium atau bahan api lain, boleh diakses menerusi gelombang radio atau internet untuk dijadikan senjata pembunuh.
Bayangkan jika peranti yang digodam memiliki bateri lebih besar atau penggodaman berlaku semasa penerbangan, di ruang pameran gudang dan venue awam lain. Berhubung peranti atau produk menggunakan bateri lebih besar yang berpotensi disabotaj dalam perang ‘espionage’ masa kini, terserah kepada pemikiran individu untuk menggambarkannya.
Untuk menyatakan perkara seperti ini tidak akan berlaku dan tidak mungkin terjadi adalah benar sama sekali, namun hanya sebelum insiden di Lebanon.
Mengulas insiden itu di peringkat antarabangsa, hanya ketua hak asasi manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu, Volker Turk mengecam penggunaan peranti awam sebagai senjata kerana jelas melanggar undang-undang hak asasi antarabangsa.
Tiada kecaman serupa oleh negara-negara Barat mahupun Majlis Keselamatan.
Dalam pada itu, banyak pihak di Asia Barat kini beralih kepada peranti buatan China dengan beberapa laporan menyatakan bahawa kilang-kilang di China tidak menang tangan menyiapkan pesanan gajet dari rantau tersebut.
Pembeli pula menetapkan syarat bahawa semua proses pembuatan alatan tersebut berlaku di China dan bukan tempat lain supaya tidak berulang kes ‘gajet makan tuan’.














