KOTA BHARU – Kesalahan teknikal terutamanya kes-kes melibatkan ubah suai motosikal dikesan paling tinggi dilakukan remaja atau penunggang motosikal bawah umur di Kelantan setakat Julai tahun ini.
Lebih mengejutkan, Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Kelantan mendapati ramai remaja mengubah suai motosikal yang dibeli ibu bapa mereka untuk berlumba di jalan raya.
Pengarah JPJ Kelantan, Mohd. Misuari Abdullah berkata, sebanyak 873 kes kesalahan teknikal dikesan dilakukan golongan itu dalam siri operasi yang dijalankan sejak Januari lalu.
“Kesalahan yang dikenal pasti adalah menggunakan tayar yang tidak mengikut spesifikasi, tayar haus, tiada lampu brek atau signal dan tidak menyelenggara kenderaan dengan baik.
“Kebanyakan remaja yang ditangkap melakukan kesalahan ini bermula seawal usia 14 tahun. Kebanyakan mereka menunggang tiga jenis motosikal iaitu Yamaha Y15, Honda RS dan Yamaha NVX,” katanya ketika dihubungi Kosmo! baru-baru ini.
Katanya, melihat kepada jenis motosikal itu, ia menunjukkan bahawa ibu bapa memberi kemewahan dengan membeli motosikal yang mahal meskipun anak-anak mereka masih belum layak mendapat lesen memandu.
Justeru, beliau mengesyorkan ibu bapa hanya memberi basikal kepada anak-anak mereka untuk bergerak sama ada ke sekolah atau untuk kegunaan harian.
“Golongan remaja masih belum dapat membaca aliran trafik dengan baik kerana tidak mendapat pendidikan secara formal semasa prosedur mengambil lesen.
“Apabila sudah mendapat motosikal, mereka sudah pasti akan terus mengubah suai kenderaan itu untuk menarik perhatian ramai. Lebih teruk, mungkin motosikal terbabit menjadi jentera untuk mereka berlumba,” ujarnya.
Jelasnya, selain kesalahan teknikal, ramai golongan remaja juga dilaporkan tidak mempunyai lesen memandu apabila 704 kes dilaporkan setakat Julai lalu.
Katanya, statistik itu menunjukkan bahawa ramai remaja masih keras kepala apabila mahu menunggang motosikal meskipun tiada lesen memandu.
“Baru-baru ini kita mengadakan operasi di kawasan Perindustrian Pengkalan Chepa dan menahan 47 buah motosikal yang ditunggang golongan remaja.
“Hasil semakan mendapati, hampir semua motosikal tersebut didaftarkan atas nama ibu bapa mereka. Jadi, ia sudah jelas menunjukkan sikap tidak bertanggungjawab ibu bapa yang membenarkan anak-anak menunggang tanpa lesen,” ujarnya.














