Trak pikap yang dibiarkan tersadai oleh pemiliknya tanpa pintu ketika tinjauan di kawasan Gombak baru-baru ini.

‘Biarpun kereta buruk tetapi saya sayang’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PUTRAJAYA – Kesukaran dalam urusan pertukaran hak milik dan terlalu sayangkan kenderaan kerana mempunyai nilai sentimental menjadi antara punca berlakunya lambakan besi buruk empat roda yang meningkat saban tahun di negara ini.

Situasi itu dapat dilihat di kawasan perumahan, tempat letak kenderaan terbuka dan di bahu jalan tidak kira sama ada di kawasan bandar dan pinggir bandar.

Keadaan itu bukan sahaja mencacatkan pemandangan, malah boleh mengundang bahaya kepada orang sekeliling se­perti pembiakan nyamuk aedes dan ancaman haiwan berbisa.

Pemilik kereta, Norhafizuddin Ismail, 29, berkata, pertukaran hak milik kereta Proton Saga bapanya yang memakan masa lama menyebabkan dia berputus asa untuk menguruskan kenderaan itu sehingga dibiarkan tersadai.

“Prosedur operasi standard (SOP) lama yang diguna pakai oleh Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) misalnya jika pemilik kereta itu sudah meninggal dunia.

“Waris yang tidak berkemampuan untuk mengurus terutama berkaitan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (Puspakom) dan Amanah Raya Berhad, jadi kereta tersebut dibiarkan tersadai begitu sahaja.

Kereta Proton Saga yang dletakkan di tepi jalan sehingga mencacatkan pemandangan orang ramai.

“Saya berpandangan JPJ perlu memandang serius perkara ini, banyak pihak perlu main pera­nan jika mahu atasi masalah (kereta tersadai) ini,” katanya.

Seorang lagi pemilik kereta dikenali sebagai Rasyidah, 62, memberitahu, dia memiliki ken­deraan jenis Daihatsu berusia 30 tahun yang diwarisi daripada bapanya.

“Bukan tidak mahu jual, tetapi sayang apabila mengenangkan jasa kereta itu kepada keluarga saya suatu ketika dahulu.

“Kalau jual pun belum tentu laku. Daripada jual pada harga murah lebih baik saya simpan buat kenangan,” ujarnya.

Bagi Ahmad Asyraf Kamaruddin, 41, pihak berkuasa tempatan (PBT) perlu memainkan peranan dalam menangani isu lambakan kereta tersadai di negara ini terutama di kawasan yang mempu­nyai jumlah penduduk yang padat di Lembah Klang.

Menurut lelaki itu, satu undang-undang perlu digubal oleh kerajaan bagi memastikan isu lambakan kenderaan tersadai sejak puluhan tahun lalu dapat ditangani dengan segera.

“Kerajaan perlu melihat isu ini, kadang-kadang bila tengok kereta tersadai di tepi jalan, di kawasan perumahan dan di tempat letak kenderaan ia nampak seperti perkara kecil, tetapi isu ini sudah berlarutan sejak sekian lama.

“Daripada tayar ­kenderaan ada angin sampai sudah mereput. Jangan berdiam diri sebaliknya buat sesuatu, mata pun tidak sakit,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN