KLUANG – Kerajaan mengisytiharkan 2 Jun sebagai Hari Pendidikan dan Latihan Teknikal dan Vokasional (TVET) negara untuk menghargai sumbangan serta kejayaan bidang ini dalam memacu pertumbuhan ekonomi negara.
Menteri Pendidikan, Fadhlina Sidek berkata, tujuan Kementerian Pendidikan (KPM) melancarkan sambutan Hari TVET adalah bagi memperhebat program itu di setiap sekolah untuk memastikan semua peringkat murid mendapat maklumat dan menjadikannya sebagai pilihan utama dalam perjalanan pendidikan mereka.
Katanya, pada 2 Jun tahun hadapan, sama ada sekolah itu ada atau tidak pembelajaran TVET, mereka akan meraikan Hari TVET negara.
“Jadi hari ini kita luncurkan, tahun hadapan semua sekolah di seluruh negara, tidak terkecuali akan meraikan tarikh itu,” katanya kepada pemberita selepas hadir dalam Majlis Pelancaran Hari TVET Sekolah Peringkat Kebangsaan di Dewan Sekolah Menengah Kebangsaan Seri Perdana di Kluang, hari ini.
Menurutnya, majlis tersebut diharapkan dapat meningkatkan lagi peranan dan sumbangan pelajar dalam industri negara.
“Program-program TVET di negeri Johor juga akan diperkasakan dengan sebuah Kolej Vokasional akan dibangunkan di Pengerang pada 2027 khusus untuk membangunkan industri ini dan lain-lain berkaitan industri khusus untuk pembangunan TVET negara,” katanya. – KOSMO! ONLINE