SEREMBAN – Seorang suri rumah yang pada mulanya hanya menjahit baju bertemakan kemerdekaan untuk anak di sekolah kini mampu meraih ‘rezeki’ selepas menyediakan khidmat sewa pakaian pada harga rendah.
Ibu kepada tiga orang cahaya mata itu, Nurfatimah Abu Bakar, 41, berkata, dia mula menjahit sejak tiga tahun lalu dengan kadar sewaan bermula RM30 hingga RM50 sepasang termasuk aksesori.
“Idea ini tercetus apabila anak bersungguh-sungguh hendak menggayakan baju bertemakan kemerdekaan sempena sambutan di sekolahnya, saya ada bakat menjahit jadi saya cuba hasilkan baju yang diminta.
“Ketika itu sukar untuk dapatkan baju sewa tema merdeka di sekitar Seremban, jadi saya terfikir untuk sediakan khidmat sewaan dengan kadar berpatutan,” katanya ketika ditemui di rumahnya di Bandar Sri Sendayan di sini semalam.
Menurut Nurfatimah, dia mengekalkan kadar sewaan serendah RM30 supaya golongan ibu bapa kurang berkemampuan juga boleh memberikan anak mereka bergaya dengan tema baju kemerdekaan.
“Biasanya baju merdeka ini hendak pakai sehari dan sekejap sahaja, jadi biarlah anak-anak ini gembira dapat bergaya dan ibu bapa tidak rasa terbeban untuk menyewa baju yang saya sediakan.
“Kalau tempah kosnya lebih tinggi, ada tukang jahit ambil upah antara RM80 hingga RM150 bergantung kepada material dan fabrik,” katanya.














