fbpx
Setiap rakyat Malaysia perlu menghayati erti kemerdekaan dengan memupuk rasa syukur, menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan memastikan keamanan serta kemakmuran yang dinikmati terus dipertahankan.

Sudah merdekakah kita atau sekadar pandai laung?

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIAP kali tibanya 31 Ogos, ramai yang melaungkan perkataan keramat iaitu ‘merdeka, merdeka, merdeka’.

Persoalannya, adakah individu yang melaungkan perkataan keramat itu tahu, faham dan menghayati erti sebenar kemerdekaan ataupun sekadar mengikut trend?

Sebelum merungkai erti kemerdekaan, penulis ingin berkongsi dahulu potongan lirik lagu ‘Apa Erti Kemerdekaan’ nyanyian Allahyarham Cikgu Naim atau nama sebenarnya, Darulnaim Mamat yang juga pendikir tersohor di Kelantan suatu ketika dahulu.

‘Apa erti kemerdekaan bagi umat melayu kita tokse (tidak mahu) terima perubahan anak cucu menjadi mangsa orang lain dok rebut peluang, takkan kita nak tengok saja, masa tetap berjalan sesaat tak tunggu kita.

‘Dilema..dilema.. dilema Melayu kita..Orang lain hidup bersatu kita balah sama sekampung, bangsa lain hidup maju bangsa kita masih mundur.’

Walaupun ia sekadar lagu, tetapi liriknya penuh makna yang mendalam dan jika kita hayati ia amat bersangkut dengan kehidupan orang Melayu ketika ini.

Ramai yang takut terima perubahan sehingga sanggup menggadaikan masa depan anak cucu dan bangsa Melayu itu sendiri.

Walhal kita tahu, seluruh dunia sedang rancak membangun dengan pelbagai teknologi terkini yang menuntut semua masyarakat mengikuti arus kemodenannya.

Sedarlah semua bangsaku, masa tidak akan menunggu kita, makin lama kita menafikan perubahan, makan lama anak cucu dan bangsa kita ketinggalan di belakang.

Sanggupkah kita nak lihat bangsa lain menjadi ‘tuan’ di tanah tumpahnya darah kita ini? Sanggupkah kita menjadi ‘kuli’ atau orang bawahan selamanya?

Jadi mengambil ibrah sempena sambutan Bulan Kemerdekaan, marilah kita sama-sama ‘memerdekakan’ pemikiran kita daripada ‘dijajah’ oleh masa silam.

Biarkan masa silam menjadi kenangan, jangan kita gadaikan masa depan anak cucu dan bangsa kita di tanah air sendiri.

Menjelaskan lagi perkara itu, penulis memetik satu artikel oleh Pensyarah Kanan Program Strategi & Hubungan Antarabangsa Universiti Kebangsaan Malaysia, Dr. Aizat Khairi yang menyifatkan erti kemerdekaan sebenar bukan sekadar bebas daripada penjajahan fizikal.

Sebaliknya kata beliau, kemerdekaan sebenar turut menjurus kepada kebebasan menentukan hala tuju negara serta memelihara identiti nasional dan membina masa depan berasaskan nilai serta aspirasi rakyat.

Jelasnya, rakyat Malaysia perlu menghayati erti kemerdekaan dengan memupuk rasa syukur, menghargai pengorbanan generasi terdahulu dan memastikan keamanan serta kemakmuran yang dinikmati sekarang terus dipertahankan.

“Justeru, perlunya semangat dan pengetahuan kemerdekaan ini terus dihayati oleh golongan belia dan generasi seterusnya kerana mereka adalah pewaris masa depan negara.

“Tanpa penghayatan sejarah kemerdekaan, mereka mungkin hilang arah dalam mempertahankan kedaulatan negara.

“Memahami perjuangan lampau akan menanam rasa bangga dan tanggungjawab untuk memelihara negara daripada ancaman perpecahan, penjajahan minda dan cabaran global yang kompleks,” katanya.

Beliau berkata, penting bagi generasi hari ini terus menghayati erti kemerdekaan kerana ia bukan sekadar peristiwa sejarah, tetapi suatu amanah kritikal berlandaskan hak kebebasan yang datang bersama tanggungjawab sebagai warganegara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN