fbpx
Danial menunjukkan pingat penghargaan yang diterima dan gambar kenangan sewaktu berkhidmat dalam Polis Diraja Malaysia ketika ditemui di rumahnya di Marang semalam.

20 kali bertempur lawan komunis – Bekas Komando

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MARANG – Pengalaman bertempur dengan pengganas komunis menjadi antara kisah yang tidak dapat dilupakan seorang veteran polis sewaktu menyertai skuad pasukan elit, 69 Komando (VAT 69) pada lewat 1970-an hingga 1980-an.

Danial Ali, 68, yang menyertai Batalion 12 Pasukan Polis Hutan (PPH) (kini dikenali sebagai Pasukan Gerakan Am) Kubang Badak, Kuala Nerus pada 1979 pernah menyertai lebih 20 operasi membanteras komunis sehinggalah kumpulan pengganas itu menamatkan penentangan pada lewat tahun 1980-an.

“Antara operasi yang pernah saya sertai ialah Ops Junjung Karangan di Kedah, Ops Hentam Galas (Kelantan), Ops Indra (Pahang), Ops Kota Ecco (Perak) dan Ops Ukur (Cuping, Perlis hingga Batu Melintang, Kelantan).

“Saya juga pernah menyertai Ops Ukur dan Selamat Sawadi yang diadakan secara bersepadu bersama Angkatan Tentera Malaysia (ATM) dan tentera Thailand di sempadan negara,” katanya ketika ditemui di sini semalam.

Danial berkata, antara pertempuran yang paling diingati ialah ketika diserang hendap pengganas komunis sewaktu pasukannya dalam misi menjaga helipad di puncak gunung dalam Ops Kota Ecco.

Katanya, pada waktu itu cuaca juga agak buruk menyebabkan helikopter gagal menurunkan bekalan makanan selama dua minggu.

“Kami hampir kebuluran se­hingga terpaksa menggali se­mula lubang sisa makanan yang pernah ditimbus sebelum itu sebagai ikhtiar hidup.

“Pertempuran sengit juga pernah berlaku di Budu Estet, Kuala Lipis, Pahang apabila kami diserang hendap. Alhamdulillah kami berjaya menangani sehingga membunuh sebahagian anggota komunis,” katanya.

Danial berkata, dua rakan pasukannya juga pernah tercedera akibat terkena jerangkap samar yang dipasang komunis sewaktu mereka menyertai Ops Ukur.

“Saya kemudian ditugaskan dalam misi pengaman Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) di Bosnia Herzegovina dan Timor Leste setelah tamatnya era penentangan komunis antara tahun 2000 hingga 2005.

“Pengalaman bertugas sebagai Timbalan Komander Balai Polis di Rogatica, Sarajevo, Bosnia Herzegovina selama kira-kira 18 bulan amat menginsafkan tentang kepentingan menjaga hubungan antara etnik,” katanya.

Danial juga tidak melupakan pengalamannya menggali kubur besar bagi mengebumikan 52 mangsa penghapusan etnik beramai-ramai di Sokolac, Bosnia Herzegovina.

Dia yang bersara dengan pangkat terakhir Sub Inspektor pada 2016 berharap generasi muda sentiasa berwaspada, menjaga keamanan dan menghargai kemakmuran yang dikecapi ne­gara pada masa ini.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN