JEMPOL – Keputusan seorang graduan lulusan Universiti Al-Azhar untuk menceburi perniagaan menjual baulu secara serius sejak dua tahun lalu ternyata membawa hasil apabila dia mampu menjual sehingga 150 bekas pada setiap hujung minggu.
Shahira Mazli, 27, berkata, lebih menggembirakan apabila dia kini dapat berbakti dan menjaga orang tuanya dengan perniagaan tersebut yang diusahakan di Simpang Bahau, Batu Kikir, di sini
“Pada awalnya, mak yang usahakan perniagaan ini tetapi sambutan ketika itu tidak begitu baik. Ketika Covid-19, saya memilih balik ke Malaysia dan membantu keluarga menguruskan perniagaan ini.
“Walaupun banyak sangat dugaan dan cabaran yang dihadapi, kami berjaya hadapinya dan kini jualan baulu sabut telur itik mendapat sambutan ramai,” katanya yang banyak menerima dorongan daripada ibu bapanya, Siti Esah Baharudin, 55, dan Mazli Muen, 54.
Katanya, pembuatan baulu sabut telur itik ini sangat sensitif dan memerlukan ketelitian dan pengalaman.
“Kayu bakar tidak boleh basah dan pernah tempahan kami dibatalkan selepas premis membuat baulu dilanda ribut.
“Sekarang ini, kami mampu menjual sehingga 100 bekas baulu berharga sekitar RM20 dan RM28 bagi setiap bekas,” katanya.
Cerita Shahira lagi, dia menggunakan konsep jualan setiap hari selain turut menyediakan air serta memberi peluang kepada perlanggan mencuba baulu secara percuma di kedainya.
Lulusan Ijazah Sarjana Muda Ulum Islamiah itu berkata, penghasilan kuih baulu itu turut dibantu oleh tiga pekerja yang akan menjalankan kerja-kerja membakar selama lima hari dalam seminggu.
“Ada kalanya, jualan boleh mencapai 150 bekas apabila musim cuti hujung minggu bermula Jumaat hingga Ahad. Bagaimanapun, saya tak paksa pelanggan beli baulu telur itik kerana tidak semua pelanggan meminati telur itik.
“Telur itik ini mahal, jangan beli kalau tak makan. Jadi, kami turut sediakan bahulu telur ayam,” jelasnya.
Menurutnya, jika mengikut resipi asal orang dahulu, penggunaan telur itik adalah bagi memastikan baulu lebih sedap dan berlemak.














