PETALING JAYA –Seorang kerani mendedahkan dia menjual sebelah buah pinggangnya pada harga RM100,000 demi untuk melangsaikan hutang bapa kandungnya dengan along.
Lelaki yang mahu dikenali sebagai Zurrad, 31, berkata, dia mengambil langkah berani mengiklankan organnya itu di laman Facebook kerana sudah tidak tahan dikejar ceti haram setiap hari pada Disember 2022.
“Ayah saya membuat pinjaman sebanyak RM20,000 kepada along kononnya untuk dijadikan sebagai modal pelaburan, namun akhirnya dia menanggung kerugian.
“Apabila ayah lambat membayar pinjaman, hutang itu bertambah mencecah RM100,000. Kami sekeluarga tidak tahu bahawa ayah berhutang sehinggalah dia menjual kereta lamanya dengan alasan ia jarang digunakan.
“Rupa-rupanya ayah bertindak demikian kerana mahu membayar hutang ceti haram, namun wang hasil jualan kereta itu masih tidak mencukupi menyebabkan kami tiga beranak diburu along setiap hari,” katanya kepada Kosmo! di sini semalam.
Zurrad memberitahu, dengan gaji bulanan kurang RM3,000, agak mustahil baginya untuk membayar hutang tersebut.
Jelasnya, dia sekeluarga juga malu untuk meminta bantuan daripada saudara mara memandangkan bapanya kerap meminjam wang daripada adik-beradiknya.
“Saya tidak mempunyai pilihan. Mungkin sudah rezeki saya kerana selepas lima bulan memuat naik iklan itu, ada beberapa individu yang menghubungi saya bertanyakan perkara tersebut.
“Tapi prosesnya tidak mudah seperti yang disangka. Banyak prosedur yang perlu kami lalui bagi memastikan buah pinggang saya adalah sesuai dengan penerima,” katanya.
Bercerita lanjut, Zurrad berkata, dia kemudiannya bertemu dengan seorang pembeli dari Johor yang kebetulan sedang mencari penderma buah pinggang untuk bapanya yang menghidap penyakit buah pinggang kronik.
“Proses pemindahan buah pinggang mengambil masa selama setahun. Pembeli tersebut sanggup membayar sebanyak RM100,000 kepada saya. Saya bernasib baik kerana kos sebanyak RM150,000 bagi pemindahan organ itu di hospital swasta turut ditanggung oleh pembeli tersebut,” katanya.
Tambahnya, dia kini menarik nafas lega walaupun sudah hampir enam bulan hidup dengan sebelah buah pinggang.
Namun Zurrad mengakui dia perlu bersedia dengan sebarang kemungkinan termasuk masalah kesihatan kerana hanya bergantung dengan buah pinggang sebelah kiri.
“Saya terima sebarang risiko yang akan datang. Saya juga amat menitikberatkan pemakanan supaya tidak memberi kesan kepada kesihatan saya pada masa akan datang.
“Saya faham ia tidak mudah, tetapi semua ini saya lakukan demi keluarga tercinta.
“Saya anggap ini sebagai pengorbanan bagi membalas jasa kedua-dua orang tua yang membesarkan saya selama 30 tahun,” katanya.
Kosmo! semalam melaporkan kesempitan hidup dan berdepan masalah kewangan untuk membayar hutang membuatkan ada segelintir pihak nekad menjual buah pinggang secara terbuka di Facebook walaupun mengetahui ia salah di sisi undang-undang.
Kegiatan haram tersebut dikesan dalam satu kumpulan Mencari Penderma Buah Pinggang yang mana rata-rata ahlinya menawarkan organ kepada pihak yang terdesak untuk mendapatkannya kerana terpaksa menunggu giliran yang lama daripada penderma.
Ada pengiklan yang meletakkan harga RM55,000 bagi sebelah buah pinggang yang dijual untuk melangsaikan hutang.
Kegiatan haram itu dikesan aktif sejak Disember 2022 dengan rata-rata penjual meletakkan butiran diri seperti umur, jenis darah, kesihatan dan nombor telefon kepada pembeli yang berminat.
Berita berkaitan: Buah pinggang cecah ratusan ribu ringgit di pasaran gelap














