fbpx
Ketika ketawa, badan kita juga menyedut oksigen dengan lebih banyak. – Gambar hiasan

Ketawa, bahagia ‘pengubat’ barah

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

Frasa bahasa Inggeris, ‘Laughter Is the Best Medicine’ cukup kerap digunakan bagi menggambarkan kepentingan ketawa dan perasaan bahagia yang menjadi pengubat duka.

Bahkan, ketawa juga dikatakan mempunyai begitu banyak manfaat kesihatan yang mengagumkan seperti memanjangkan jangka hayat seseorang, meningkatkan sistem imun badan dan menyembuhkan kanser.

Seorang pejuang kanser payudara berusia 36 tahun yang hanya mahu dikenali sebagai Siti berkongsi, dia berasa tenang setiap kali berpeluang bergelak ketawa bersama keluarga.

“Selepas disahkan menghidap kanser payudara pada 2020, saya akui dunia terasa gelap. Saya sama sekali tidak menyangka, apa yang selama ini hanya saya lihat berlaku di kaca televisyen dan juga orang lain, berlaku kepada saya.

“Justeru, saya mengajar diri untuk bersedia dengan sebarang kemungkinan dan menggunakan peluang yang ada untuk menghabiskan masa bersama suami dan anak-anak dalam emosi yang gembira.

“Oleh itu, saya percaya kepada manfaat ketawa atau berasa gembira di samping keluarga, kerana saya mendapati ia menjauhkan fikiran saya daripada memikirkan perkara-perkara negatif. Ia amat penting buat orang seperti saya yang menghidap kanser,” katanya.

Manfaat kesihatan yang diperoleh daripada ketawa bukan perkara baharu, bahkan banyak kajian yang dijalankan oleh penyelidik yang menyokong manfaat dan keberkesanan ketawa yang digelar sebagai ubat kepada banyak masalah kesihatan.

Seorang profesor dalam bidang psikologi kognitif dari Kolej Grinnel, Iowa, Amerika Syarikat, Janet Gibson memberitahu, ketawa memberikan rasa seronok pada tubuh.

“Apabila kita ketawa, hormon endorfin disalurkan ke otak, menjadikan kita berasa seronok.

“Bahkan, ketika ketawa, badan kita juga menyedut oksigen dengan lebih banyak, menjadikan sel-sel otak dan juga badan turut menerima jumlah oksigen yang banyak,” katanya.

Pada tahun 1976, satu terbitan dalam jurnal The New England Journal of Medicine pula menekankan tentang potensi ketawa secara spontan yang berfungsi sebagai terapi.

Penulis laporan tersebut menyifatkan rejim ketawa sebagai terapi tambahan yang memberikan kesan anestetik yang kuat terhadap penyakit ankylosing spondylitis iaitu sejenis penyakit arthritis yang menyebabkan keradangan pada sendi dan tulang belakang.

“Saya membuat penemuan menarik bahawa ketawa selama 10 minit dapat memberikan efek anestetik kepada saya dan dapat memberikan saya tidur yang nyenyak tanpa rasa sakit, selama sekurang-kurangnya dua jam,” demikian kenyataan dalam laporan tersebut.

Malam amal komedi ‘Life is Funny’ yang berlangsung di The LInc, Kuala Lumpur merupakan malam yang menggabungkan makan malam dan hiburan.

Dunia perubatan sebenarnya sudah lama mengenal pasti kepentingan jenaka dalam kehidupan.

Laporan satu kajian yang diterbitkan oleh jurnal akademik Psychiatric Times menyatakan bahawa ketawa juga mengurangkan rasa sakit yang dialami.

Bahkan, ketawa juga mengurangkan tekanan darah dan membantu serta mencegah kanser dengan meningkatkan aktiviti ‘pembunuh’ sel kanser dalam badan.

Bagi meraikan pejuang kanser dengan jenaka, sebuah pertubuhan bukan kerajaan, Penyelidikan Kanser Malaysia (CRMY) baru-baru ini buat pertama kalinya menganjurkan acara malam amal komedi bertajuk ‘Life is Funny’ bertempat di restoran De.Wan 1958 by Chef Wan, The Linc, Kuala Lumpur.

Penganjuran malam penuh hilai tawa itu diserikan dengan persembahan stand-up comedy oleh artis komedi terkenal tanah air iaitu Kavin Jay, Rizal van Geyzel dan Shamaine Othman.

Hos acara serta persembahan nyanyian pula adalah daripada legenda muzik terkenal, Datuk Leonard Tan, yang turut menyelit sedikit unsur jenaka pada lirik lagunya untuk menghiburkan penonton.

ANDY

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CRMY, Andy Khoo, acara tersebut dibuat khusus buat meraikan para pejuang kanser.

“Malam amal komedi ‘Life is Funny’ ini merupakan malam yang menggabungkan makan malam, hiburan dan juga malam bagi meraikan kehidupan, kekuatan dan perjuangan individu yang terlibat.

“Kami percaya bahawa ketawa yang sering digelar sebagai ubat terbaik boleh memainkan peranan penting dalam meringankan wacana tentang kanser dan menonjolkan ketabahan orang yang menghadapinya,” katanya.

Khoo menambah, ramai penghidap kanser yang menyedari bahawa selain rawatan dan sokongan keluarga, apa yang mereka perlukan untuk terus berjuang melawan penyakit adalah rasa bahagia.

“Dalam dunia serba moden ini, kami melihat bahawa hilai tawa memainkan peranan penting untuk kesejahteraan kita.

“Life is Funny bukan sekadar malam komedi, tetapi ia juga menjadi bukti daya tahan dan keberanian penghidap kanser,” katanya.

Khoo berhasrat untuk menganjurkan lebih banyak lagi malam amal komedi buat pesakit kanser di masa akan datang.

Semua dana yang diperoleh juga akan disalurkan sepenuhnya kepada inisiatif penyelidikan CRMY.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN