“SAYA tak tahu kenapa saya tak ada selera dengan perempuan, sama seperti saya suka kaum lelaki,” luah Ali (bukan nama sebenar) kepada Panorama.
Ali, seorang arkitek di sebuah syarikat swasta kini dalam dilema kerana keluarganya mahukan dia segera berkahwin kerana usianya telah mencecah hampir 40 tahun.
Rata-rata ahli keluarga menyangkakan kehidupan solonya itu adalah disebabkan oleh kecewa apabila cintanya terputus di tengah jalan ketika di universiti.
Padahal hakikatnya, berdasarkan hubungan di universiti itulah dia mula sedar bahawa hatinya tidak mampu tertarik dengan sosok seorang wanita.
Biarpun mengakui bernafsu songsang, Ali tidak pernah memiliki sebarang hubungan sesama jenis kerana dia tahu tentang hukum agama.
“Walaupun jiwa saya sentiasa membentak-bentak mahukan kebebasan menyayangi macam orang lain, tetapi saya tidak pernah ikut keinginan hati saya yang sebenar.
“Saya dibesarkan dalam keluarga yang kuat pegangan agama. Jadi, saya anggap ini adalah ujian untuk saya tempuhi,” katanya.
Dilema Ali semakin memuncak apabila ibunya didiagnosis sebagai pesakit kanser rahim tahap empat dan terpaksa menjalani kemoterapi.
Ibunya meluahkan impian untuk melihat anak lelaki tunggalnya itu berkahwin sebelum ajal menjemputnya.
Ali bersetuju untuk berkahwin dengan anak rakan usrah ibunya yang baru sahaja tamat pengajian dari universiti di Mesir.
Pada mulanya, Ali memberitahu dirinya bahawa mungkin perkara yang berlaku adalah ketentuan Ilahi dan dia mampu cuba untuk berubah.
Namun setelah dia berjumpa dengan bakal isterinya, Fatimah (bukan nama sebenar), hatinya kembali berbolak-balik.
Bukan kerana Fatimah tidak cantik, malah kerana Fatimah sangat cantik dan baik membuatkan dirinya rasa bersalah.
Ujar Ali, Fatimah sering bercakap tentang perancangan keluarga seperti berapa orang anak serta cara membesarkan mereka.
“Fatimah seorang yang berfikiran ke hadapan. Oleh itu, dia sering membincangkan hal-hal perancangan keluarga dengan saya.
“Dia berharap kami mampu bertolak ansur. Seterusnya, dapat membina sebuah keluarga yang harmoni.
“Tetapi perkara itu buatkan saya rasa bersalah kerana memberikan dia harapan palsu,”ujarnya.
Menurut Ali, sepanjang mereka keluar menguruskan hal-hal perkahwinan, hatinya sentiasa terasa seperti dalam keterpaksaan.
Malah, dia rasa tersiksa melihat wanita tidak bersalah itu bakal rasa tidak disayangi selepas perkahwinan mereka nanti.
Bagaimanapun, sudah sangat terlambat untuk dia menarik diri memandangkan tarikh pernikahannya hanya berbaki beberapa bulan sahaja lagi.
Malah, mana mungkin dia mendedahkan punca sebenar dia enggan berkahwin kepada keluarganya terutama dengan keadaan ibunya yang semakin tenat.
Ujar Ali, dia berdoa agar dia mampu menjalankan tanggungjawab sebagai suami walaupun hatinya kosong.
“Saya akan cuba sedaya upaya untuk bertanggungjawab dan saya harap semuanya dipermudahkan.
“Cuma buat masa ini, saya masih lagi tidak ada sekelumit pun rasa teruja seperti pengantin lelaki lain,” jelasnya.














