fbpx
Pembunuhan kejam yang menimpa Nur Fatin Kartini (gambar kecil).

Mudahnya tamatkan nyawa orang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SANGAT menyeramkan apabila banyak kes pembunuhan membabitkan pasangan tidak kira sama ada sudah bergelar suami isteri atau kekasih.

Pelbagai sebab yang kadang kalanya tidak masuk akal seperti tidak mandi, malas masak, hidup miskin, namun paling kerap adalah disebabkan cemburu buta, ugutan, curang, kekasih minta putus dan dendam.

Penulis enggan mengaitkan dengan mana-mana kes, namun apa yang ditekankan adalah mengapa mudahnya menamatkan nyawa orang.

Apa yang pasti, daya penggeraknya adalah lemahnya kawalan emosi ditambah dengan ‘nyanyian syaitan’ yang mempengaruhi diri sendiri.

Akhirnya membawa kedukaan kepada keluarga mangsa dan kesan panjang kepada keluarga pelaku. Perlu diingat, membunuh itu perbuatan dosa besar dan pertanggungjawaban bukan hanya di dunia, malah di akhirat nanti.

Pakar Kriminologi dan Pensyarah Kanan di Fakulti Undang-Undang, Universiti Malaya, Dr. Haezreena Begum Abdul Hamid berkata, tidak dinafikan kecamukan hidup yang semakin kompleks dan penuh konflik membuatkan seseorang itu sering mengambil jalan pintas melakukan sesuatu yang bersifat kejam.

“Bagaimanapun, pemicu utamanya adalah kegagalan mengawal emosi tidak kira apa alasannya.

“Semuanya dilakukan bagi melampiaskan amarah kerana merasakan itu jalan pintas sama ada tidak berniat atau niat itu datang pada ketika berlakunya pembunuhan tersebut,” katanya.

Menurutnya, pembunuhan itu boleh terjadi sama ada dirancang atau sebaliknya dengan kebanyakan pelakunya adalah individu yang waras dengan ‘korbannya’ adalah individu yang dikenali.

Ujarnya, ini berbeza apabila ramai suka mengaitkan sesuatu pembunuhan itu disebabkan seseorang itu mempunyai masalah mental.

“Mental itu boleh digunakan sebagai alasan, namun ada elemen tertentu perlu dibuktikan termasuk pelaku tidak sedar apa dibuat dan pembunuhan itu menjadi kesalahan.

“Pembunuh yang tidak waras adalah sedikit sangat. Mungkin ada kes melibatkan amuk, namun ia sangat minimum berbanding kes jenayah bunuh yang kita dengar selalu. Kadang kala kita tidak faham sebab dia membunuh apatah lagi apabila tiada kaitan dengan mangsa pun,” jelasnya.

Beliau menambah, tiada persamaan antara mereka yang digelar pembunuh ini sebaliknya akan terus terjadi sekiranya gagal menyelaraskan atau menyelesaikan perasaan negatif mereka secara harmoni dan selari dengan landasan kemanusian.

Haezreena menjelaskan dalam kes pembunuhan tiada aspek peniruan atau copycat killer sebaliknya lebih disensasikan di media barat.

“Bila berlakunya pembunuhan, adrenalin pelakunya akan tinggi dan tiada masa hendak fikir membuat ‘trademark’ atau penandaan pada mangsa.

“Mereka mahu cepat-cepat sembunyi atau lupuskan bukti tidak kira dengan cara menanam, bakar, buang dalam laut, malah cincang satu badan disebabkan mayat itu akan berbau.

“Meniru itu kebarangkalian, namun saya tidak pernah dengar di Malaysia ini bahawa membunuh dengan cara meniru perilaku pembunuh yang lain,” katanya.

Mengulas lanjut, beliau mengingatkan agar sentiasa berwaspada dan tidak mengikut hawa nafsu sehingga bertindak di luar kawalan.

“Sekiranya, seorang individu merasakan benda (memukul atau menikam seseorang) itu menghantui dirinya atau terdesak melakukan sesuatu perkara yang akan memusnahkan diri dan orang lain, adalah lebih baik mendapatkan bantuan sama ada kerohanian dan kaunseling,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN