Cantik, bijak dan berpengaruh. Itu tiga ciri bagi menggambarkan kehidupan Nuur Nuwairah Muhammad Lutfi yang kini banyak menghabiskan masa untuk perancangan masa depannya.
Berasal dari Puchong, Selangor, Nuwairah yang kini mengikuti jurusan Syariah dan Undang-Undang di Universiti Malaya juga menyimpan pelbagai kisah menarik dan tragik selain aktif sebagai pempengaruh di media sosial.
Bagi mengikuti kisah hidup wanita bercita-cita tinggi ini, Pesona Ahad minggu ini sempat berkongsi pandangan Nuwairah mengenai kehidupannya.
KOSMO! AHAD: Kenalkan diri anda?
NUWAIRAH: Saya mempunyai lima beradik dan berasal dari Puchong, Selangor. Secara luaran, saya mungkin kelihatan mesra di media sosial, tetapi sebenarnya saya seorang yang tidak suka berkongsi hal privasi terutamanya dalam soal keluarga dan kehidupan cinta. Buat masa ini, saya lebih seronok melakukan sesuatu secara bersendirian.
Pencapaian sebagai pempengaruh?
Saya paling berpuas hati apabila saya berjaya melakukan penyuntingan yang melibatkan banyak video walaupun pada mulanya susah sangat. Paling istimewa, saya juga mendapat perhatian daripada pempengaruh dan selebriti tanah air yang melihat hasil kerja keras saya. Antaranya Mira Filzah, Zoe Arissa, Montigo, Hada Labo, Cosrx!
Impian masa akan datang?
Saya ingin mengimbangi kerjaya undang-undang dan masa sama mencipta kandungan, melakukan penyuntingan video serta pemodelan. Saya juga ingin merakam video peralihan di pelbagai negara serta membawa ibu bapa saya mengembara.
Lebih selesa berbahasa Inggeris, kenapa?
Sejak kecil saya dan adik-beradik diajar menggunakan bahasa Inggeris oleh ayah. Bagi saya, sesuatu perkara lebih mudah disampaikan dalam bahasa Inggeris.
Pernah terima komen negatif?
Pernah, banyak kali. Orang sering mengkritik mengenai pakaian saya, solekan dan juga perkara yang remeh-temeh.
Apa kekuatan Nuwairah?
Kekuatan saya adalah diri saya sendiri, di mana hari demi hari saya akan sentiasa melakukan relfleksi diri dan pastikan untuk terus mengekalkan pakaian saya dengan sopan. Sesetengah pendapat orang di ruangan komen adalah relevan dan saya boleh terima.
Pengalaman ngeri?
Saya hampir lemas di kolam renang yang sangat dalam. Hampir tenggelam, namun nasib menyebelahi saya kerana sempat berpegang pada dinding dan memanjat tebing kolam ketika itu.
Rancangan masa hadapan?
Saya bercita-cita untuk membuka perniagaan pakaian jalanan (streetwear) atau penyewaan pakaian. Namun, saya mahu mencapai kerjaya undang-undang dahulu.
Ciri lelaki idaman?
Saya suka seseorang yang sentiasa menyokong perkara yang saya minati dan juga membantu dalam menasihati perkara yang baik dan buruk.
Saya juga ingin mempunyai seorang lelaki yang boleh membantu menyelesaikan masalah serta seseorang yang sentiasa percaya dengan impian saya. Saya mahu dia menyokong saya dari segi mental dan fizikal.














