Anggota polis dan bomba melakukan kerja-kerja menyelamat di sebuah bangunan yang terbakar hingga mengakibatkan dua kanak-kanak maut di Plaza Mahkota, Banda Hilir kelmarin.

‘Hanya fikir nak terjun selamatkan diri’

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MELAKA – Seorang lelaki menceritakan dia dan isterinya hampir-hampir hendak terjun dari tingkat dua sebuah bangunan sekiranya keadaan mendesak selepas rumah mereka dipenuhi asap tebal yang terhasil daripada kebakaran di aras bawah.

Kevin Lem Wee, 22, berkata, kejadian pada pukul 1.30 tengah hari kelmarin di Plaza Mahkota, Banda Hilir di sini sangat mencemaskan apabila dia dan isteri, Caterina Lee, 31, yang hamil sebulan tidak dapat turun kerana api sudah sampai ke tangga.

Mengimbau semula kejadian itu, Lem Wee berkata, mereka bergegas keluar sebaik terhidu asap di dalam bilik sewa.

“Kami kembali semula ke bilik apabila api sudah marak di tangga tingkat satu. Saya buka tingkap dan suruh isteri duduk di atas kotak penghawa dingin dan saya di sebelahnya.

“Saya dan isteri menjerit meminta tolong dan terfikir untuk terjun jika keadaan memaksa. Tidak lama kemudian, orang ramai membawa jentera mengecat bangunan untuk menyelamatkan kami,” katanya ketika ditemui di Hospital Melaka di sini semalam.

Menurut Lem Wee, mereka dapat diselamatkan, namun isterinya dimasukkan ke hospital kerana sesak nafas.

Terdahulu, mereka dilawati Pengerusi Jawatankuasa Hal Ehwal Wanita, Pembangunan Keluarga dan Kebajikan negeri, Datuk Kalsom Noordin.

Semalam Kosmo! Online me­laporkan dua kanak-kanak me­ninggal dunia, manakala ibunya kritikal selepas terhidu asap tebal yang masuk ke rumah mereka di bangunan tersebut.

Mangsa yang maut ialah Nuralia Karisa Abdullah, 12, dan Nur Riaisha Zahra Abdullah, 2, manakala ibu mereka, Azliha Ngah Ariffin, 40, kritikal.

Sementara itu Kalsom berkata, Jabatan Kebajikan Masyarakat akan membantu menguruskan jenazah kedua-dua beradik yang difahamkan akan dikebumikan di Ipoh, Perak.

Menurutnya, keadaan ibu kepada kedua-dua beradik itu sangat kritikal di Unit Rawatan Rapi dan situasinya tidak berubah sewaktu dimasukkan ke Hospital Melaka.

“Saya menziarah dan melihat keadaan mangsa yang sangat kritikal. Saya merasa amat sedih atas kejadian yang berlaku dan hanya saya mendoakan agar satu keajaiban berlaku kepada ibu mangsa,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN