PONTIAN – Kira-kira 50 peratus pengeluaran buah durian di ‘lembah durian’ di Pekan Nanas, di sini terjejas berikutan buah-buah tersebut dalam keadaan lembap dan tidak boleh dimakan.
‘Lembah Durian’ yang dimaksudkan ialah di Kampung Sawah, Kampung Bakar Arang, Kampung Air Putih, Kampung Melayu Raya, Kampung Pak Khalib, Kampung Maju dan Kampung Sepakat Jaya.
Seorang pemilih dusun di Kampung Melayu Raya, A. Azmi Mohamed, 53, berkata, durian yang mula gugur pada penghujung Jun hanya bertahan selama 10 hari berbanding tiga hingga empat minggu sebelum ini.
Dia yang memiliki dusun durian seluas 4.4 hektar dengan 140 pokok durian hanya mampu melihat buah-buah yang rosak dan gugur sebelum sampai waktunya untuk dipasarkan.
“Daripada 140 pokok durian, hanya separuh yang berbuah, separuh pula ada masalah buah yang kehitam-hitaman dan lembap,” katanya ketika ditemui semalam.

Katanya, dia seperti pemilik dusun lain tidak mengetahui punca berlakunya keadaan seperti itu mungkin disebabkan keadaan cuaca yang tidak menentu dengan hujan dan panas.
“Tidak pernah berlaku keadaan seperti itu dan situasi tersebut telah menjejaskan pendapatan pemilik dusun yang menyifatkan musim durian sebagai bonus tahunan mereka,” ujarnya.
Sebelum ini media melaporkan Fenomena El Nino yang berterusan memberi kesan terhadap pengeluaran buah durian, malah pekebun menjangkakan berlaku peningkatan harga ekoran kekurangan buah pada musim ini.
Seorang lagi pekebun durian, Ayob Ketot, 73 pemilik dusun durian Tok Ayob di Kampung Air Putih, Pekan Nanas juga menghadapi masalah yang sama apabila pengeluarannya turut terjejas tahun ini.
“Daripada 54 batang pokok durian kampung yang ditanam atas tanah seluas 1.2 hektar, separuh daripadanya mengalami masalah tersebut tahun ini.
“Bagi menampung kekurangan durian, saya membawa masuk durian dari luar seperti musang king, durian kahwin dan durian udang merah bagi memenuhi permintaan pelanggan,” ujarnya.
Ayob berkata, masalah yang berlakunya turut menjejaskan ramai pemilik dusun durian di Pekan Nanas yang merupakan lokasi tumpuan pengemar durian segar pada hujung minggu dan cuti umum termasuk pengunjung dari Singapura.














