fbpx
NOR FAZLEEN memaklumkan, hampir 24,000 individu telah menjadualkan semula bayaran balik pinjaman atau pembiayaan dari Januari hingga Mei tahun ini.

Lemah urus kewangan, punca ramai jadi ‘hamba’ hutang

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK dinafikan, pelbagai peringkat usia terutama anak muda masa kini menghadapi masalah kewangan.

Lebih menyedihkan, pinjaman atau pembiayaan yang dilakukan kadangkala memakan diri sendiri dan akhirnya menjadi ‘hamba’ hutang hingga ada diisytiharkan muflis.

Kajian khusus dijalankan oleh Agensi Kaunseling dan Pengurusan Kredit (AKPK), Financial Education Wellness Research Committee (FEWRC) berkaitan Tingkah Laku Berbelanja Dalam Kalangan Pengguna Muda Malaysia 2023 mendapati, kebanyakan golongan itu meletakkan kepentingan lebih tinggi untuk melibatkan diri dalam aktiviti yang menyeronokkan termasuk makan di luar, membeli peranti elektronik dan mengekalkan penampilan berbanding membina simpanan.

Bagi membincangkan dan mengupas lebih lanjut mengenai perancangan kewangan dan pengurusan kredit, wartawan Kosmo! Ahad, SAIRUL ZAMRI MISRANI berkesempatan menemu bual

Pengurus Besar Bahagian Pendidikan dan Jangkauan Masyarakat di AKPK, Nor Fazleen Zakaria baru-baru ini.

KOSMO! AHAD: Media difahamkan terdapat pertambahan jumlah individu yang mendapatkan khidmat di AKPK sejak kebelakangan ini. Berapakah jumlah individu yang memohon menguruskan kredit mereka?
NOR FAZLEEN: Sejak penubuhan AKPK pada 2006 hingga April tahun ini, lebih 1.3 juta individu telah mendapatkan khidmat nasihat kewangan di AKPK. Daripada jumlah tersebut, hampir 500,000 individu telah dibantu dalam menguruskan semula kredit mereka melalui Program Pengurusan Kredit (PPK).

Berdasarkan rekod bulan Januari hingga Mei tahun ini, lebih daripada 39,000 individu telah menemui penasihat kewangan AKPK untuk mendapatkan panduan dan tip berkenaan pengurusan kewangan bijak.

Daripada jumlah itu, hampir 24,000 individu yang menghadapi isu kewangan telah dibantu melalui penjadualan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang melibatkan nilai hutang sekitar RM4 bilion.

Apakah masalah-masalah yang dihadapi oleh seseorang individu sehingga mendorong mereka mendapatkan khidmat di AKPK?

Melalui kajian yang dijalankan ke atas pelanggan AKPK, antara faktor-faktor yang membawa mereka ke AKPK adalah kos sara hidup yang tinggi iaitu 42 peratus, perancangan kewangan yang lemah (34 peratus), kehilangan pekerjaan atau pencari nafkah (8 peratus), perbelanjaan perubatan yang tinggi (5 peratus) dan sebab-sebab lain (1 peratus).

Bagi golongan peniaga pula, faktornya adalah kegagalan atau kemerosotan perniagaan (10 peratus).

Sebagai sebuah agensi yang berperanan untuk membantu masyarakat menghadapi isu kewangan, AKPK bertindak sebagai orang tengah antara peminjam dan penyedia kredit atau kewangan.

Kami membantu merangka semula pelan bayaran balik pinjaman atau pembiayaan yang baharu mengikut aliran tunai semasa peminjam.

Menurut satu laporan, golongan belia berumur antara 28 dan 30 tahun adalah kumpulan yang paling tinggi menanggung hutang dan mendapatkan bantuan AKPK.

Adakah situasi ini membimbangkan kerana ia melibat golongan muda yang produktif?

Golongan belia terutama lingkungan 28 hingga 30 tahun tergolong dalam kelompok yang sedang berada pada tahap kemuncak kitaran hidup dan produktiviti. Mereka sedang aktif membina kerjaya, mula menambah jumlah ahli keluarga dan dalam fasa merancang masa depan kewangan lebih stabil.

Justeru, sekiranya perjalanan kewangan mereka tidak dirancang dan dipantau dengan teliti, ia boleh mengganggu matlamat kehidupan jangka panjang.

Laporan oleh Financial Education Well-being Research Centre (FEWRC) AKPK sendiri yang bertajuk From Nine to Five: Navigating Employees’ Financial Well-Being at the

Workplace menunjukkan bahawa kesejahteraan kewangan dan mental saling berkaitan.

Sejumlah 65 peratus pekerja dewasa Malaysia mengatakan bahawa tekanan kewangan telah menjejaskan prestasi kerja mereka.

Oleh itu, golongan muda disarankan untuk mengambil langkah awal dan proaktif dengan cara meningkatkan kesedaran akan pentingnya pengurusan kewangan yang betul.

Mereka harus mendapatkan peluang pendidikan kewangan yang telah disediakan oleh institusi kewangan yang sah termasuklah AKPK.

Pihak majikan juga disarankan untuk bekerjasama dengan AKPK dalam memberikan keutamaan kepada pendidikan kewangan bagi memastikan kesejahteraan kewangan, sekali gus memberikan impak positif kepada produktiviti pekerja.

Pada pendapat puan, adakah angka tersebut menunjukkan bahawa golongan muda kita pada masa kini kurang celik kewangan? Sekiranya betul, siapakah yang patut mendidik hal kewangan ini kepada mereka?
Sekiranya kita merujuk kepada angka penyertaan pelanggan dalam Program Pengurusan Kredit (PPK), AKPK, kita melihat ramai yang mula sedar akan perlunya mendapatkan bantuan awal sekiranya dibelenggu dengan masalah kewangan khususnya bayaran balik pinjaman.

Mereka sedar bahawa jika masalah ini tidak ditangani dengan lebih awal, ia boleh menjadi parah. Mengelak daripada masalah tidak akan menyelesaikannya, sebaliknya ia mungkin memburukkan lagi keadaan.

Zaman teknologi masa kini membolehkan kita mengakses ilmu kewangan dengan hujung jari, walau di mana kita berada.

Kami di AKPK turut mempunyai modul-modul pembelajaran dalam talian di portal, power.akpk.org.my yang ditawarkan secara percuma kepada semua.

Seperti semua sedia maklum, belia pada hari ini hidup mengikut trend. Mereka membeli kereta mahal, minum kopi premium dan bercuti ke luar negara. Adakah ini mendorong kepada permasalahan kewangan meruncing?
Sebagaimana dikongsikan awal tadi, anak muda memiliki sikap suka bersaing secara sosial dengan rakan sekerja dan rasa takut ketinggalan atau dikenali sebagai Fear of Missing Out (FOMO).

Tidak dinafikan bahawa terdapat kemungkinan mereka terpaksa menggunakan kad kredit mencapai had maksimum untuk menampung keperluan hidup yang mencabar akibat beban hutang sedia ada yang tinggi.

Namun, pengaruh gaya hidup tertentu adalah sangat besar dan boleh mendorong kepada permasalahan kewangan.

AKPK pernah mengendalikan satu kes yang melibatkan seorang eksekutif muda yang terjebak dengan isu keterhutangan serius.

Dia menggunakan kad kredit dan mengambil pinjaman peribadi untuk perbelanjaan dalam kebanyakan agenda percutiannya di merata tempat. Sampai satu ketika, dia terpaksa berhutang dengan adik- beradik, sahabat untuk menutup lubang hutang-hutang.

Lebih parah lagi, gaji bulanannya tidak cukup untuk menyara kos hidupnya.

Salah satu barah dalam kewangan adalah hutang. Apabila tidak cukup duit, orang ramai akan mula berhutang. Hutang ini ada baik dan buruknya. Apakah jenis hutang yang boleh memudaratkan seseorang dari segi kewangan?
Cakap sahaja tentang hutang dan pinjaman, pelbagai emosi boleh timbul dalam diri kita. Ada yang memandang dari sudut kebaikan, dan tidak kurang juga yang melihat hutang dan pinjaman sebagai sesuatu yang negatif.

Realitinya, hutang ialah sebahagian daripada kehidupan kita.

Sama ada kita berhutang dengan institusi kewangan seperti bank, berhutang dengan kawan-kawan atau ahli keluarga, agak sukar untuk kita lari daripada hutang sepenuhnya dalam memenuhi tuntutan hidup.

Sekiranya ada individu menghadapi masalah kewangan terutamanya komitmen bulanan tinggi sehingga negatif gaji bulanannya, apakah khidmat bantuan yang boleh diberikan kepada mereka?
AKPK sentiasa terbuka kepada masyarakat untuk mendapatkan khidmat nasihat pengurusan kewangan dan hutang.

Paling penting, ambil tindakan awal. Datang ke AKPK dan kami sedia membantu. Jangan bertangguh kerana sikap suka menangguh akan membawa kepada masalah lebih besar.

Jangan berdiam diri atau lari daripada masalah tanpa mendapatkan penyelesaian yang sepatutnya.
AKPK memainkan peranan utama dalam membantu individu agar pulih daripada masalah kewangan dan hutang.

Pertama, AKPK memainkan peranan sebagai orang tengah antara penyedia kredit dan peminjam untuk membantu menstrukturkan semula pinjaman atau pembiayaan yang tertunggak.

Kedua, AKPK juga bertindak sebagai penasihat kepada peminjam untuk membimbing mereka dalam menguruskan aset, hutang dan aliran tunai supaya boleh mengekalkan taraf hidup selesa ,di samping meneruskan bayaran balik hutang.

Ketiga, AKPK turut memainkan peranan sebagai pendidik awam yang memberikan kesedaran dan pembelajaran kepada individu mengenai pengurusan kewangan yang baik untuk membolehkan mereka mengurus pendapatan, perbelanjaan dan pinjaman dengan cekap.

Akhir sekali, apakah nasihat puan kepada masyarakat di luar sana yang sedang menghadapi kos sara hidup menekan, namun gaji mereka masih di takuk lama?
Individu boleh mengamalkan prinsip URUS. URUS merupakan akronim kepada (utamakan perancangan, raih simpanan, ubah gaya hidup dan sejahtera kewangan).

Bagi pelanggan atau peminjam yang memerlukan bantuan, terutama melalui program tertentu seperti Program Pengurusan Kredit AKPK, kesediaan mental sangat penting.

Justeru, AKPK menasihatkan orang ramai agar jangan bertangguh dan bertindak segera untuk mendapatkan bantuan awal terhadap masalah kewangan dihadapi. Pada asasnya, apa sahaja yang berlaku di sekeliling kita, diri kita sendiri turut memainkan peranan.

Kita boleh mengubah keadaan untuk mencapai kesejahteraan kewangan lebih baik sekiranya dapat menguasai tingkah laku kewangan yang betul.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN