BESUT – Usaha seorang pemuda yang berbudi kepada tanah akhirnya membuahkan hasil apabila dia mampu meraih pendapatan RM4,000 sebulan menerusi tanaman kangkung secara hidroponik sejak awal tahun ini.
Muhammad Syafiq Madzlan, 29, berkata, usaha yang dilakukan bersama seorang rakan, Zulfitri Ahmad, 27, itu pada mulanya hanya sekadar suka-suka untuk mengisi masa terluang.
“Saya yang bekerja sebagai freelance (pekerja bebas) di sebuah syarikat swasta sebenarnya mempunyai banyak masa terluang.
“Sebab itu saya berpakat dengan Zulfitri untuk menceburi pertanian moden dengan menanam kangkung secara hidroponik,” katanya ketika ditemui di kebunnya di Kampung Gong Kepas di sini semalam.
Muhammad Syafiq berkata, mereka menyewa tanah terbiar seluas 0.2 hektar untuk melaksanakan projek kangkung hidroponik tersebut.
Tambah beliau, selain sistem hidroponik, kebun kangkungnya juga dilengkapi televisyen litar tertutup (CCTV) yang kesemuanya menelan belanja kira-kira RM35,000.
“Kelengkapan teknologi moden ini membolehkan kami memantau penjagaan tanaman kangkung bagi menjamin kualiti pengeluarannya.
“Alhamdulillah kebun kami kini mampu mengeluarkan 300 kilogram (kg) kangkung seminggu menerusi tiga kali tuaian sepanjang tempoh tersebut,” katanya.
Muhammad Syafiq berkata, mereka menjual kangkung pada harga RM5 sekilogram.














