fbpx
GAMBAR HIASAN

Tuntut ilmu jaga budak sebelum buka taska

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

PENGUSAHA taman asuhan kanak-kanak (taska) perlu berdaftar dengan Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi membolehkan pengoperasian mereka serta memberi jaminan tahap keselamatan anak-anak.

Ini memandangkan taska dan pusat asuhan adalah alternatif penjagaan kanak-kanak kepada ibu bapa bekerjaya meletakkan anak mereka ketika bekerja.

Tidak hairan ketika ini taska dan pusat asuhan kanak-kanak yang timbul bagaikan cendawan selepas hujan.

Dari sekadar mencuba untuk mengasuh seorang anak terus kepada bilangan yang tinggi dan ia dijadikan pekerjaan tetap si pengasuh itu.

Bukan salah untuk menjaga anak-anak, tapi adalah lebih baik pengasuh ini mengambil langkah untuk mendaftar dengan JKM bagi menilai segala aspek termasuk mendapatkan pendedahan cara penjagaan kanak-kanak.

Ia perlu dilaksanakan bagi mengelakkan perkara seperti penderaan ke atas kanak-kanak tidak berlaku selain tahap keselamatan mereka terjamin.

Baru-baru ini, pada sidang Dewan Rakyat, Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri mendedahkan sebanyak 506 taska di negara ini direkodkan tidak berdaftar dengan JKM.

Katanya, menyedari kepentingan dan keperluan kawal selia hal ini, pendekatan yang pelbagai, termasuk notis peringatan serta tindakan penguatkuasaan telah dikenakan.

“Sebanyak lapan buah taska telah dikenakan tindakan Lak (sita), 17 telah dikompaun dan dua kes telah didakwa di mahkamah antara tahun 2020 hingga Mac 2024,” katanya.

Jelasnya, terdapat sesetengah pusat asuhan tersebut yang sebenarnya menepati standard minimum pengoperasian JKM, tetapi tidak berdaftar kerana pelbagai faktor.

Justeru, perkara ditangani melalui pengaktifan One Stop Centre (OSC) dan hasilnya sebanyak 189 taska telah dibantu sehingga lulus pendaftaran.

“Bagi taska yang berdepan isu ini, kita mengambil pendekatan untuk membantu mereka dengan memberi khidmat nasihat serta melaksanakan inisiatif memudahcarakan proses permohonan yang ditetapkan oleh agensi-agensi teknikal iaitu Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia, Jabatan Kesihatan serta PBT.

“Melalui OSC di peringkat negeri dan daerah antara September 2023 hingga Mei 2024, sebanyak 189 taska telah dibantu sehingga lulus pendaftaran,” ujarnya.

Sementara itu, Timbalan Pengerusi, Persatuan Kebajikan Anak Kami, Ku Noor Ammarah Ku Amir berkata, isu ketiadaan lesen taska ini sudah lama berlaku di negara ini.

Katanya, bagi menoktahkan perkara itu, pelbagai pihak perlu mengambil inisiatif dalam melaksanakan tindakan penguatkuasaan yang tegas tanpa kompromi.

“Isu taska tidak berdaftar seharusnya ditangani dengan lebih komprehensif oleh pihak berkuasa. Kerjasama beberapa agensi diperlukan untuk memastikan semua taska berdaftar dengan JKM.

“Keselamatan dan nyawa kanak-kanak tidak sepatutnya dijadikan bahan uji kaji untuk melihat polisi mana yang sesuai,” katanya.

Dalam pada itu, Ku Noor Ammarah berkata, bagi menjamin keselamatan anak-anak, ibu bapa harus harus main peranan semak status taska berkenaan sebelum menghantar anak mereka bagi tujuan asuhan.

“Antara langkah yang mudah boleh diambil ibu bapa perlu meminta salinan sijil pendaftaran melalui JKM samada taska itu berdaftar,” ujarnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN