TRX menawarkan peluang membeli-belah pelbagai jenama mewah kepada para pelawat asing.

TRX, GMBB meriahkan Jualan Mega Malaysia

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TIDAK lengkap pengalaman melancong di sesebuah negara sekiranya tidak membawa pulang buah tangan sebagai ‘momento’ berharga.

Lebih-lebih lagi sekiranya melancong di negara yang kaya dengan sejarah, budaya serta berstatus sedang membangun seperti Malaysia.

Penambahan dua buah pusat beli-belah baharu di Kuala Lumpur iaitu The Tun Razak (TRX) Exchange dan GMBB menjadi tarikan terbaharu Jualan Mega Malaysia yang akan bermula pada 15 Jun sehingga 31 Julai depan.

Kempen anjuran Kementerian Pelancongan Seni dan Budaya itu kembali setelah empat tahun dihentikan ekoran pandemik Covid-19.

Menurut Timbalan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Khairul Firdaus Akbar Khan, kempen melibatkan peruncitan dan pusat beli-belah terkemuka di Malaysia itu menjanjikan potongan harga sehingga 85 peratus.

Katanya, perkara itu secara tidak langsung bakal merancakkan sektor ekonomi negara yang melibatkan penginapan, gastronomi dan aktiviti pelancongan.

“Terdapat peluang dalam setiap krisis.

“Dengan keadaan ringgit kita yang lemah, masyarakat dunia pasti lebih tertarik untuk datang berbelanja di negara ini.

“Kami juga bekerjasama dengan pelbagai pihak bagi memastikan pelancong domestik juga dapat menikmati manfaat semasa kempen ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas merasmikan program Jualan Mega Malaysia 2024 di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Bagi penggemar jenama mewah antarabangsa, TRX merupakan antara destinasi terbaik untuk mereka lawati.

Ini kerana, banyak jenama mewah membuka rangkaian pertama di Malaysia menerusi TRX seperti Apple Stores, Gentle Monster dan Drunk Elephant.

Selain barangan mewah, Taman Bandar TRX yang terletak di tingkat tiga atas bumbung merupakan ruangan sesuai untuk persinggahan keluarga.

Taman ‘rooftop’ terbesar di dunia itu lengkap dengan pemandangan hijau, air terjun, tempat berkelah dan taman permainan kanak-kanak.

Sementara di GMBB, pengunjung berpeluang membeli pelbagai hasil seni artisan tempatan sama ada klasik atau moden.

Selain itu, kewujudan bengkel seperti gamelan, fluid art, wayang kulit fusion dan risograph sesuai kepada mereka yang mahu mencuba aktiviti tersebut.

KHAIRUL FIRDAUS (tengah) ketika majlis pelancaran Jualan Mega Malaysia 2024 di Pavilion Kuala Lumpur baru-baru ini.

Lebih menarik, penganjuran pelbagai pameran seni yang sentiasa berubah dari semasa ke semasa di bangunan tersebut juga boleh diakses secara percuma.

Tambah Khairul Firdaus, kerjasama holistik tersebut akan memastikan pelancong menikmati pengalaman berbelanja secara menyeluruh dan berharga ketika di Malaysia selaras dengan slogan kempen jualan nasional iaitu ‘MY Priceless Experience’.

Katanya, inisiatif tersebut juga dijangka akan memberikan impak yang signifikan dengan sasaran pendapatan pelancongan bagi 2024 sebanyak RM102.7 bilion.

“Malaysia telah merekodkan kemasukan 7.5 juta pelancong pada suku pertama tahun ini iaitu peningkatan hampir 15 peratus berbanding tempoh sama tahun lepas.

“Kami di kementerian juga yakin negara mampu untuk mencapai sasaran 27.3 juta pelancong pada tahun ini,” jelasnya.

Untuk rekod, kempen yang dimulakan pada 1999 itu merangkumi tiga fasa iaitu Malaysia Super Sale (1 hingga 31 Mac), Jualan Mega Malaysia (15 Jun hingga 31 Julai) dan Jualan Akhir Tahun Malaysia (15 November hingga 31 Disember).

Penganjuran ketiga-tiga kempen terakhir pada 2019 mencatatkan jumlah perbelanjaan pelancong bernilai RM86.14 bilion.

Mulai tahun hadapan, ketiga-tiga kempen tersebut akan digazetkan sehingga 2026 sebagai persediaan menjelang Tahun Melawat Malaysia 2026.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN