SEBERANG PERAI – Kementerian Komunikasi akan menubuhkan satu jawatankuasa khas bagi membendung berita palsu di media sosial sempena Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Bakap, nanti.
Menterinya, Fahmi Fadzil berkata, pemantauan platform berkenaan sememangnya dilaksanakan untuk menangani kenyataan yang tidak bertanggungjawab.
“Saya lihat kebiasaannya apabila berlangsungnya PRK negeri atau Pilihan Raya Umum (PRU), memang akan ada pasukan yang meneliti kesemua platform ini.
“Penelitian dilaksanakan iaitu di peringkat kementerian dan peringkat badan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) selain agensi serta jabatan lain antaranya Jabatan Penerangan.
“Insya Allah, (jawatankuasa) akan kita buat untuk PRK nanti,” katanya selepas menghadiri Program Sembang Santai bersama Ketua Komuniti MADANI Parlimen Nibong Tebal di Sungai Bakap, di sini hari ini.
Beliau meluangkan masa bersarapan bersama komuniti setempat di samping menyampaikan beberapa pandangan kepada masyarakat khusus berkait usaha kerajaan untuk meningkatkan pendapatan negara sekali gus membantu meningkatkan pendapatan rakyat.
Dalam perkembangan berkaitan, beritahunya, segmen Biar Betul yang disiarkan di saluran Radio Televisyen Malaysia (RTM) antara alternatif dalam menangkis penyebaran berita palsu dan fitnah dalam kalangan masyarakat.
Tambahnya lagi, Komuniti Madani juga perlu memainkan peranan dalam menangani penyebaran bahan-bahan bersifat fitnah dan tidak betul. – KOSMO! ONLINE














