fbpx
Allahyarham Pyanhabib seorang penyajak, penulis, pelakon serta seniman yang amat disegani.

Perginya Osman Tikus, ‘brader’ kita mesti terus hidup

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

TERSEDAR dari lena sekitar pukul 4 pagi, penulis terbaca satu mesej yang berbunyi: “Salam, Pyanhabib meninggal, ada nombor dia tak.” Satu lagi pula: “Ibu, perlu ke saya pergi atau hantar wartawan lain buat liputan pengebumian.”

Berpinar, mata yang mamai tiba-tiba buntang. Terkedu saat nama jenazah dimaksudkan dibaca. Ralat menyelubungi jiwa. Masuk ke Facebook dan tekan Google untuk pengesahan, penulis termanggu seketika.

Mamai hilang. Bingkas bangun, cuci muka dan termenung lagi. Sakitkah beliau tapi sakit apa, tetap tiada jawapan. Dalam hati, tiada lagi Osman Tikus.

Tiada lagi ayat ‘lu apa tau’ yang akan dibaca hampir setiap kali omelan-omelan kecil, sinikal dan gurauan beliau melintas di pelantar Facebook.

Secara peribadi, Pyanhabib bukan level ‘abang-abang’ jauh lagi hendak menggelarkan beliau sahabat kepada penulis. Cukuplah sebagai kenalan yang boleh bertegur sapa.

Melihat angka usia sahaja, beliau selayaknya ‘bapa-bapa’, tetapi sepanjang mengenali dan sesekali bertemu untuk wawancara atau serempak dalam acara, beliau hanya mahu disapa Pyan. Orang rock memang agaknya kena ‘rugged’, stailo.

Beliau sangat ‘brader-brader’ walaupun ‘pak cik-pak cik’, sama macam sahabat baik beliau, Allahyarham Khalid Salleh. Semoga mereka kembali bertemu dan bersahabat di alam barzakh.

Mengenali lelaki berambut panjang, bermisai dan berjanggut itu, semestinya pertama kali menerusi filem ikonik, Kembara Seniman Jalanan pada usia belasan tahun.

Hanya pada saat mula masuk universiti dan bekerja dalam bidang media, barulah penulis sedar siapa sebenarnya Pyanhabib.

Rupa-rupanya, sejak usia 15 tahun lagi, beliau bercita-cita menjadi penyair dan jiwa besar itu mendorongnya ke Kuala Lumpur kemudian sama-sama Anak Alam menikmati kehidupan dari kaca mata seorang penyair yang selalu digelarnya ‘kutu’.

Bezanya, jika penyair lain hidup dalam kelompok jauh daripada budaya popular, seperkara yang membezakan Pyan adalah popularitinya sebagai pelakon.

Selain watak popular Osman Tikus dalam Kembara Seniman Jalanan, beliau ada judul-judul besar seperti Tsu Feh Sofiah, Rozana Cinta 87, Mat Som, Rock Oo!, Apokalips X dan Usop Wilcha Meghonjang Makhluk Muzium. yang menjadikan dirinya selalu relevan dalam kalangan seniman generasi baharu.

Hal sama juga yang sering arwah Mamat Khalid tekankan, kenapa Pyan selalu ada dalam karyanya. Relevan!

Kata seorang penyair yang tidak kurang popular, Shukri Abdullah, Pyanhabib, adalah insan yang mencetuskan minatnya menjadi penyair ‘di kertas di pentas’.

Untuk penulis, Pyan jugalah antara manusia yang memberi erti bahawa pekak bukan bererti tidak dengar atau harus diam, tunduk dan angguk.

Impak Pyan sebagai penyair yang tidak pernah jemu memanusiakan insan begitu dirasai banyak orang. Semoga, seperti potongan slogan ikoniknya, ‘brader kita mesti terus hidup’, Pyanhabib kekal hidup dalam dada siapa yang sahaja yang mengenalinya.

Selamat berpulang ke alam penuh ‘kemenangan’ Osman Tikus, reda sudah ‘sarat dukamu’. Malam puisi, Selangor Mansion pasti rindu kelibatmu. Al-Fatihah.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN