fbpx

KPM akan bertemu PIBG sekolah bincang isu DLP

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Fahmi hadir pada Program Sembang Santai Komuniti Madani Sungai Bakap, hari ini. Foto oleh IQBAL HAMDAN/KOSMO!

SEBERANG PERAI – Kementerian Pendidikan (KPM) dijangka bertemu dengan Lembaga Sekolah dan Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) dari 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) di Pulau Pinang di negeri ini.

Ia susulan kumpulan berkenaan dikatakan membantah pelaksanaan sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar dalam Program Dual Language Programme (DLP) yang dilaksanakan di sekolah mereka.

Difahamkan, Menterinya, Fadhlina Sidek bersama Timbalan Menteri, Wong Kah Woh akan bertemu dengan kumpulan terbabit dalam masa terdekat.

Jurucakap Kerajaan Perpaduan, Fahmi Fadzil berkata, isu yang berbangkit berkait bantahan PIBG mengenai dasar ‘dual language programme’ bagi Matematik dan Sains.

“Bukan untuk dihapuskan sepenuhnya Bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. Yang mereka sampaikan adalah pandangan dan bantahan mereka supaya sekolah-sekolah mereka diteruskan DLP dalam Bahasa Inggeris, itu yang mereka maksudkan.

“Saya telah berhubung dengan YB Menteri Pendidikan, dan beliau memaklumkan beliau dan YB Timbalan Menteri akan meneliti perkara ini, bertemu dengan PIBG-PIBG ini dan menyelesaikan dengan baik,” katanya pemberita selepas menghadiri Program Sembang Santai Komuniti MADANI Sungai Bakap di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, beliau yang juga Menteri Komunikasi berkata, ada beberapa pihak telah membuat persepsi tidak benar dalam isu berkenaan.

“Saya tidak mahu ada mana-mana pihak yang cuba menangguk di air keruh, yang cuba mempolitikkan apa yang sebenarnya merupakan pandangan yang disampaikan.

“Mana-mana pihak yang cuba mengambil sikap dan menyentuh 3R, berdasarkan laporan sentimen yang telah kita lakukan pagi tadi, ada beberapa pihak yang telah mengeluarkan kata-kata yang rasis, mengambil kesempatan dan membuat tohmahan yang tidak baik dan tidak harmoni bagi negara pelbagai kaum seperti Malaysia.

“Saya telah arahkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia (MCMC) meneliti komen yg telah dibuat dan ambil tindakan sekiranya ada mana-mana individu atau warganet yang meletakkan komen rasis dan bersifat 3R,” katanya.

Semalam, media melaporkan Lembaga Sekolah serta PIBG daripada 11 Sekolah Menengah Jenis Kebangsaan (SMJK) dan Sekolah Menengah Cina (SMC) yang membantah pelaksanaan secara paksa sekurang-kurangnya satu kelas menggunakan bahasa Melayu sebagai bahasa pengantar. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI