fbpx
Fenomena child-free melanda pasangan negara ini terutama pasangan muda yang tidak mahukan anak atas sebab-sebab tertentu.

Fenomena child-free, kahwin tapi tak nak anak

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KLANG – Sejak pandemik Co­vid-19, ada pasangan di negara ini yang berkahwin, namun memilih untuk tidak memiliki anak atau child-free terutama melibatkan golongan muda.

Antara alasan yang diberikan adalah tidak bersedia bergelar ibu bapa, selesa hidup berdua dengan pasangan dan kenaikan kos sara hidup.

Pakar Motivasi dan Kaunseling Rumah Tangga, Hushim Salleh berkata, situasi itu menyebabkan ada pasangan yang mendirikan rumah tangga berkira-kira untuk memiliki cahaya mata kerana perlu menyediakan peruntukan besar bagi membesarkan zuriat masing-masing.

“Mereka mahu memberikan perhatian yang lebih kepada pasangan masing-ma­sing dan hidup bebas tanpa dikongkong,” katanya ketika ditemui Kosmo! baru-baru ini.

Menurut Hushim, selain pasangan baharu, terdapat pasa­ngan lama yang berbuat demikian kerana terkesan dengan kos sara hidup yang semakin me­ningkat saban tahun.

“Ekonomi negara masih dalam fasa pemulihan, jadi dua atau tiga anak sudah mencukupi.

“Berdasarkan pengalaman klien saya, jika pada mulanya mereka ini merancang untuk memiliki lima anak, namun apabila sudah mempunyai dua anak, mereka ‘ikat’ atas faktor kewa­ngan,” ujarnya.

Jelas Hushim, terdapat pasangan yang terpaksa berpisah kerana suami mereka tidak mahukan cahaya mata selepas mendirikan rumah tangga.

“Ada yang sudah dua tiga tahun kahwin, baru pasangan beri­tahu tidak mahu anak de­ngan alasan tidak bersedia, tidak minat dengan kanak-kanak dan sebagainya.

“Ada isteri yang trauma keguguran selain faktor usia,” kata beliau.

Oleh itu, Hushim menasihatkan orang ramai untuk memilih pasangan yang mempunyai ‘selera’ yang sama terutama berkaitan zuriat.

“Kalau memang anda hendak berkahwin dan tidak mahukan anak, pilih pasangan yang terbuka dengan keputusan itu.

“Bercakap jujur atau berte­rus-terang dengan pasangan masing-masing sebelum berkahwin,” katanya.

Tambah Hushim, fenomena child-free bukan sahaja berlaku di Malaysia, malah di negara-negara lain seperti Amerika Syarikat, Finland, Jepun, Korea dan Indonesia.

Kosmo! semalam melapor­kan ibu bapa perlu membelanjakan sehingga RM400,000 secara purata untuk membesarkan seorang anak.

Ia bermula sejak anak tersebut dilahirkan sehingga usianya mencapai 18 tahun terutama bagi pasangan yang tinggal di bandar-bandar besar termasuk Lembah Klang.

Ia meliputi kos untuk menyediakan tempat tinggal, pendidikan, kesihatan, pakaian dan makan minum yang menjadi keperluan asas dalam hidup.

Lebih menambahkan bebanan kewangan, apabila mahu memenuhi semua segmen keper­luan hidup anak yang meningkat remaja seperti menyediakan telefon bimbit, komputer riba, rangkaian internet dan pelbagai barangan lain.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN