fbpx
Mohd. HASRUL (kanan) memberi makan lembu tempatan ternakannya di Kampung Pengkalan Merbau, Setiu semalam.

Lembu import bikin penternak rugi

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

SETIU – Lambakan lembu import dari negara jiran yang berharga terlalu murah meresahkan pengusaha tempatan kerana menyebabkan tempahan terhadap ternakan mereka merosot teruk sehingga 70 peratus untuk sam­butan Hari Raya Aidiladha bulan ini.

Seorang penternak, Mohd. Hasrul Helmi Ariffin, 36, mendakwa, setakat ini, hanya 10 ekor lembu ternakannya telah ditempah untuk ibadah korban.

“Biasanya setiap kali Hari Raya Korban termasuk tahun lalu, sekurang-kurangnya 30 ekor lembu yang saya ternak akan ditempah untuk ibadah korban.

“Tempahan juga akan ditutup awal dalam tempoh sebulan sebelum musim perayaan tetapi tahun ini lembu-lembu saya tidak laku langsung,” dakwanya ketika ditemui di sini baru- baru ini.

Dakwanya, trend penurunan permintaan terhadap lembu tempatan sebenarnya sudah boleh dilihat sejak Ramadan lalu.

Dakwanya, lembu-lembu peliharaannya yang berharga antara RM5,000 hingga RM8,000 seekor tidak mampu menyaingi harga lembu import yang rata-ratanya ditawar bawah RM4,000 seekor.

“Saya juga curiga lembu import yang saiznya lebih kurang sama dengan lembu tempatan boleh dijual semurah itu.

“Ikut kos makanan dan penja­gaan lembu yang semakin me­ningkat ketika ini, harga RM5,000 hingga RM8,000 mengikut saiz dan baka yang kami tetapkan sekarang pun cukup-cukup balik modal sahaja,” dakwanya.

Seorang lagi penternak, Abdul Basir Mamat, 32, juga resah apabila lembu peliharaannya kurang laku untuk korban tahun ini.

“Situasi ekonomi semasa menyebabkan ramai memilih lembu yang berharga lebih murah sebagai ibadah korban tahun ini.

“Begitupun, kami penternak tempatan tidak mampu melawan harga lembu import yang terlalu murah.

“Tidak mungkin kami terpaksa ‘buang harga’ kerana langkah itu boleh membuatkan kami bukan sahaja rugi, malah silap-silap gulung tikar,” dakwanya.

Katanya, dia cuba mempromosikan lembu-lembu tempatan menerusi media sosial dengan harapan dapat menerima tempahan baharu sebelum sambutan Aidiladha pada 17 Jun ini.

“Saya juga berharap pengeluaran caruman Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) menerusi Akaun Fleksibel mulai 11 Mei lalu mampu merancakkan semula tempahan lembu korban.

“Lebih membimbangkan jika lembu import yang dijual terlalu murah itu sebenarnya di­seludup lalu sukar dipastikan tahap kesihatan haiwan tersebut.

“Jika lembu-lembu itu berpenyakit, saya risau ia bukan sahaja membahayakan kesihatan pengguna, malah dikhuatiri menular kepada ternakan kami,” katanya.

Semalam Kosmo! melaporkan, di Kota Bharu, seorang penternak lembu bimbang me­ngalami kerugian besar selepas pelanggan yang menguruskan pakej korban membatalkan tempahan 40 ekor lembu.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN