TANJUNG MALIM – Rutin seorang wanita Orang Asli suku Semai berumur 59 tahun yang menetap di Kampung Orang Asli Sungai Lembing, Behrang Stesen di sini bermula sejak pukul 6 pagi.
Yusnita Zakaria mula menoreh getah di kebun yang terletak berhampiran rumahnya. Sebaik selesai, dia akan memulakan perniagaan kedai runcit yang diasaskannya bersama suami pada 2010 sebelum mula mengambil tempahan menjahit serta menghasilkan produk kraftangan berbentuk
beg yang pasarannya menjangkau sehingga ke Sabah.
“Sebenarnya, sejak remaja saya tidak boleh duduk diam sehingga berkahwin dan mempunyai lima anak. Saya teruja untuk belajar benda baharu bagi menambah pendapatan keluarga.
“Sejak berpindah ke kampung ini, saya fikir mengapa tidak membuka kedai runcit untuk menambah pendapatan. Mulanya secara kecil-kecilan dengan menjual barangan seperti beras, sabun, keropok, gula dan kopi,” katanya kepada Kosmo! di sini baru-baru ini.
Usahanya itu mendapat perhatian Jabatan Kemajuan Orang Asli (Jakoa) yang membantu mengembangkan lagi perniagaan kedai runcit itu dengan bantuan geran berbentuk peralatan dan barangan seperti peti sejuk beku, penyejuk, rak besi, gerai burger dan payung bernilai RM20,000.
Katanya, bantuan itu membolehkannya menambah barang keperluan asas harian dan makanan kering, minuman sejuk dan tambah nilai prabayar untuk kemudahan pelanggan hingga boleh menjana pendapatan kasar sebanyak RM300 sehari,” katanya.
Ujarnya, itu tidak termasuk dia mengambil tempahan katering yang bukan bersifat berkala untuk program-program anjuran Jakoa dan perkampungan Orang Asli sekitar Tanjung Malim seperti majlis pertunangan dan perkahwinan.
“Saya belajar menghasilkan produk kraftangan berbentuk beg ini secara sendiri dengan bantuan adik perempuan. Mulanya secara suka-suka tetapi kemudian dibuat secara serius selepas pelanggan yang mengambil tempahan pakaian tertarik dengan beg-beg yang dihasilkan menggunakan bahan-bahan seperti riben, jaring PVC dan butang,” katanya.
Dia turut mempelbagaikan mekanisme pemasaran produk kraftangan yang mendapat sambutan kaum Melayu, Cina dan India selain melalui kurier bagi pasaran hingga ke Sabah dan Sarawak.
Jakoa membantu masyarakat Orang Asli di negara ini termasuk Perak melalui pelbagai program pembangunan sosioekonomi, pendidikan dan kesejahteraan komuniti termasuk geran bantuan bimbingan usahawan.
Perkembangan itu selari dengan pelan Perak Sejahtera 2030 di bawah Niche Daerah Muallim dengan tumpuan utama perniagaan dan perkhidmatan.














