Rita (dua dari kiri) pada majlis pemeteraian perjanjian di Kuantan baru-baru ini.

Silk Road Market destinasi komersial, mesra muslim

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

KUANTAN – King’s Park Deve­lopment Sdn. Bhd. (King’s Park) dan Rita Synergy Holding (Rita Synergy) memeterai perjanjian kerjasama bagi membangunkan projek hartanah King’s Park Genting Highlands, sekali gus membuka peluang baharu dalam sektor pelancongan, perniagaan dan gaya hidup.

Kerjasama strategik itu turut mendapat sokongan Kerajaan Negeri Pahang menerusi Jabatan Pelancongan Negeri Pahang yang disasarkan mampu merancakkan ekonomi tempatan dan menarik lebih ramai pelancong domestik serta antarabangsa.

Antara komponen utama pembangunan tersebut adalah Silk Road Market yang dirancang sebagai destinasi komersial dan pelancongan yang menggabungkan pelbagai tarikan termasuk gastronomi, produk tempatan, makanan dan minuman (F&B) serta ruang perniagaan.

Pembangunan Silk Road Market dijangka menawarkan pengalaman berbeza kepada pengunjung menerusi kepelbagaian pilihan makanan, produk dan aktiviti yang mengetengahkan keunikan budaya serta cita rasa tempatan.

Ketua Pegawai Eksekutif Silk Road Market, Datin Rita Sosilawati berkata, projek itu bukan sekadar menyediakan ruang komersial, malah membuka peluang kepada usahawan, pengusaha F&B dan pemain industri tempatan memperkenalkan produk serta perkhidmatan mereka kepada pasaran lebih luas.

Menurutnya, syarikat juga diberi tanggungjawab untuk memenuhi keperluan komponen F&B serta gaya hidup di Silk Road Market dengan menarik lebih ramai pengusaha terlibat sama di dalam pembangunan tersebut.

“Kami juga memberi tumpuan kepada usaha membawa masuk dan mempromosikan jenama tempatan untuk diketengahkan di King’s Park yang bakal menjadi hab pelancongan mesra muslim,” katanya pada majlis pemeteraian perjanjian tersebut di sini baru-baru ini.

Turut hadir Pengasas bersama King’s Park Genting Highlands, Datuk Seri Dr. Michael Yong dan Pengarah Kerjasama Strategik syarikat, Alice Yong.

Antara negara yang disasarkan termasuk Indonesia, ­Vietnam, Thailand, Filipina, Singapura dan Brunei, sekali gus menjadikan Silk Road Market sebagai platform yang menghimpunkan pelbagai jenama dan produk dari rantau ini.

Dalam pada itu, pembangunan King’s Park di Genting Highlands akan dilaksanakan secara berfasa dengan fasa pertama kini mencapai kemajuan 90 peratus dan dijadualkan dirasmikan pada September 2027.

Keseluruhan projek ber­kenaan dijangka siap menjelang 2030, merangkumi pembinaan hotel, taman tema berkonsepkan Upin & Ipin, beberapa kemudahan dan fasiliti pelancongan lain.

Pembangunan itu bakal menggabungkan pelbagai komponen termasuk tarikan hiburan keluarga, kawasan komersial dan kemudahan pelancongan bagi membentuk sebuah ekosistem destinasi bersepadu.

Selain itu, pembangunan halal hab itu juga diberi perhatian dengan penekanan terhadap pematuhan keperluan halal dan ­piawaian berkaitan bagi meme­nuhi keperluan pengunjung muslim serta menyokong pertumbuhan industri pelancongan halal.

King’s Park menyasarkan kehadiran antara enam hingga sepuluh juta pengunjung setahun, sekali gus berpotensi memperkukuh kedudukan Genting Highlands sebagai destinasi pelancongan yang menawarkan pelbagai pengalaman merangkumi hiburan keluarga, gastronomi, membeli-belah dan gaya hidup.

Sementara itu, Pengarah Pembangunan Perniagaan Silk Road Market, Hazirah Ibrahim berkata, pembangunan projek tersebut diharap dapat mewujudkan satu lagi tarikan pelancongan berkonsepkan mesra muslim, selain menyediakan platform kepada usahawan dan perniagaan tempatan untuk berkembang ke pasaran lebih luas.

Kerjasama King’s Park Deve­lopment dan Rita Synergy itu mencerminkan komitmen ke dua-dua pihak dalam meneroka peluang pembangunan yang mampu memberikan manfaat jangka panjang kepada industri pelancongan, komuniti perniagaan dan ekonomi negara, khususnya Pahang. -KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN