SOSIAL media adalah platform yang mencerminkan kisah hidup dan suara hati masyarakat dalam bentuk teks, gambar dan video. Tidak kira suka atau duka, kebanyakan pengguna ada jalan cerita sendiri yang ditayangkan di media sosial.
Namun, rata-rata mereka lebih suka menunjukkan kebahagiaan dan kejayaan sama ada kekayaan material, harta benda, perkahwinan dan sebagainya.
Namun wujud satu permasalahan dalam aspek penerimaan apabila kebahagiaan itu adalah toksik bagi orang lain. Tidak dinafikan, bukan semua mahu menunjuk-nunjuk, sebaliknya memotivasikan orang lain.
Timbalan Dekan (Program Ijazah Dasar), Fakulti Pendidikan, Universiti Malaya, Prof. Madya Dr. Azmawaty Mohamad Nor berkata, perkongsian berlebih-lebihan boleh menimbulkan perasaan iri hati kepada orang lain.
“Ia akan membawa kepada permasalahan jika dibuat secara berlebih-lebihan sehingga menimbulkan perasaan negatif dalam diri pengikut media sosial.
“Lebih buruk, ia mendorong untuk melakukan perkara buruk secara fizikal,” katanya.
Jelasnya, Kementerian Komunikasi dan Digital memaklumkan 28 juta penduduk negara ini bergantung kepada media sosial untuk berkomunikasi dan mendapatkan maklumat.
Jadi dapat dilihat sosial media ibarat ‘nadi’ dan budaya dalam hidup yang mana penggunaan dan perkongsian berlebihan boleh memberi kesan kepada kehidupan.
Ia juga mungkin boleh membawa kesan langsung kepada perasaan dengki, iri hati, obsesi, malah lebih teruk kesihatan mental.
Bagi yang melihat perkongsian bahagia, meraka lebih terdorong untuk membandingkan hidup dengan pemilik akaun itu.
Bagi yang menerima dengan baik mungkin tiada masalah, namun tidak semua mempunyai pemikiran sama.
Membandingkan kehidupan diri dengan orang lain boleh menjurus kepada rasa diri tidak berguna atau gagal.
Ini kadangkala bukan berpunca daripada masalah hati, tetapi atas apa yang dilalui oleh individu itu sendiri.
Ada seorang rakan penulis melalui perkara sama dan penyelesaiannya adalah menyekat diri daripada menelaah media sosial.
langkah itu membuatkan dirinya menjadi lebih baik, malah kebimbangan juga berkurang.
Begitu juga langkah yang diambil selebriti dan artis, Waris baru-baru ini menyarankan perkara sama dalam perkongsian beliau selepas 100 hari hidup tanpa media sosial.
Perlu diingat tidak semua perkongsian kebahagiaan di media sosial mencerminkan realiti kehidupan sebenar.
Sering kali, gambaran kebahagiaan itu hanya salah satu sisi kisah indah daripada pelbagai dimensi sebuah kehidupan.
Pengguna tidak boleh menilai kebahagiaan seseorang hanya berdasarkan apa yang dilihat di media sosial.
Perlu difahami juga tidak semua yang dipaparkan di media sosial adalah benar, malah kemungkinan ada yang bermotifkan keuntungan.
Bagi yang ingin berkongsi kisah hidup, tidak salah untuk melakukan sedemikian, tetapi niatnya harus betul dan berkongsilah dengan jujur.















