PENDANG – Pesawah di Bukit Raya di sini merayu pihak berkaitan menyelesaikan masalah saliran yang mengakibatkan bendang mereka tidak dapat diusahakan sejak lima tahun lalu.
Penduduk mendakwa, sebanyak 30 hektar sawah di kawasan itu terjejas ekoran sungai yang tidak diselenggara dengan baik sehingga mendatangkan pelbagai masalah termasuk banjir kilat.
Pesawah, Abd. Ghaffar Abd. Hamid, 45, berkata, kali terakhir mereka membuat aduan adalah pada 12 Mei lalu, namun masih belum mendapat maklum balas.
“Masalah sungai ini terlalu cetek, apabila hujan, bendang dan rumah kami dimasuki air. Selain itu, air sungai yang melimpah mengakibatkan pesawah tidak dapat mengusahakan bendang.
“Bendang sekarang mula ditumbuhi kangkung. Petani kerugian sejak lima tahun lepas, kami mahu tanam padi, bukan kangkung,” katanya ketika ditemui di Kampung Alor Ali semalam.
Abd. Ghaffar berkata, sebelum ini mereka menyewa jengkaut untuk mendalamkan sungai, namun masalah itu masih berulang.
Ahmad Fuzi Bahari, 62, pula berkata, setiap musim petani menanggung kerugian kerana tidak dapat mengusahakan sawah masing-masing.
“Bendang kami seperti laut. Bagaimana nak tabur benih? Kali terakhir sungai diselenggara tujuh tahun lepas,” jelasnya.
Ahmad Fuzi berkata, mereka menaruh harapan tinggi agar masalah itu diselesaikan segera bagi mengelak petani kerugian.
“Kebanyakan kami berharap dengan bendang, kalau tiada bendang macam mana nak tanggung keluarga.
“Setiap musim banyak hutang yang kena bayar kepada tauke padi, tetapi kalau bendang tidak boleh buat nak cari duit daripada mana?” soalnya.
Rosli Ahmad, 52, memberitahu, ada petani terpaksa mengeluarkan modal untuk mengepam keluar air dari sawah.
“Air banyak macam mana hendak tabur benih padi? Jadi terpaksa pam keluar air, itu juga perlukan wang,” katanya.














