GABUNGAN pelbagai konsep dalam seni tatarias rumah menjadikan sesuatu ruang itu tampak dinamik.
Pengadunan pelbagai gaya, warna, corak dan tekstur untuk mencipta ruang yang padat, tetapi menarik secara visual.
Bagi pasangan Nur Raihana Abd. Rahim dan Nor Armizi Ariffin, bereksperimen dengan kombinasi berbeza memberi kepuasan tersendiri.
Sejak menduduki kediaman teres empat bilik tidur dan dua bilik air di Semenyih, Selangor itu pada 2010, mereka telah mencuba pelbagai konsep.
Antaranya adalah konsep Scandinavian, Nordic dan modern farmhouse, namun kini mereka mula memasukkan elemen muji ke dalam hiasan dalaman rumah.
Menurut Nur Raihana, pemilihan skema natural penting bagi memastikan suasana keharmonian dapat dicipta, sekali gus tidak menyebabkan ruang nampak serabut.
“Saya memang kerap tukar tatarias kerana bosan kalau rumah kami hanya tertumpu pada satu konsep sahaja.
“Jadi, saya akan ubah beberapa elemen sedikit demi sedikit mengikut minat saya.
“Ini secara tidak langsung mencetuskan kombinasi pelbagai konsep yang lahir daripada gabungan tatarias lama dan elemen baharu,” katanya kepada K2.
Warna asas natural iaitu putih krim pada dinding dan lantai menjadi kanvas asas keseluruhan kediaman berkeluasan 163.5 meter persegi itu.
Tekstur polos pada dinding ditambah menerusi pemandangan wainscoting, board dan batten serta pelbagai hiasan dinding lain.
Bagi memberikan keseimbangan ruang, cermin berbentuk berlian digunakan untuk mencipta ilusi keluasan pada rumah.

Pemasangan fluted wall berwarna coklat pada dinding ruangan televisyen pula memberikan ilusi seakan-akan tingkap.
Warna panas yang sering dikaitkan dengan elemen muji itu memberikan pencahayaan palsu pada ruang tertutup berkenaan.
Tema industrial boleh dilihat pada pemilihan lampu chandelier dengan rangka besi yang sebelum ini disesuaikan dengan konsep farmhouse.
Elemen Scandinavian pula dapat dilihat pada pemilihan warna sejuk pada tumbuhan yang seakan-akan merujuk kepada musim sejuk.
Tambah wanita berusia 39 tahun itu, penting untuk mewujudkan titik fokus dalam kediaman berkonsep ‘mix and match’ agar dapat menjadi perhatian utama.
“Sebelum ini, sofa saya berwarna beige. Namun setelah lapan tahun, saya rasa bosan dan ingin mencuba sofa berwarna kontra.
“Setelah bertukar warna sofa ke emerald green, baru saya perasan ruang itu lebih menyerlah dan menjadi titik fokus pada keseluruhan dekorasi rumah,” jelasnya.
Enggan menyatakan kos keseluruhan dekorasi, Nur Raihana menjelaskan, tidak ada renovasi besar berlaku dalam rumah mereka setakat ini.
Katanya, kebanyakan barangan dalam rumah dibeli daripada Ikea, SSF Home dan Shopee setelah mendapat inspirasi daripada blog dan media sosial.
“Tatarias rumah kami adalah hasil tangan sendiri.
“Daripada pemasangan flute, wainscoting, board dan batten sehingga penukaran loteng menjadi sebuah bilik untuk dua anak kami.
“Selalunya, saya akan pilih reka bentuk kesukaan yang sesuai dengan ruang. Sementara, suami saya akan merealisasikannya,” katanya.














