RUANG tamu rumah teres setingkat di Parit Buntar, Perak itu menyambut pandangan tetamu dengan suasana tenang dan mendamaikan, di mana setiap sudutnya tersusun rapi serta teratur.
Warna-warna lembut seperti putih, krim dan beige mengalir secara harmoni, mencipta latar yang bersih serta tidak mengganggu pandangan.
Perabot dipilih dengan reka bentuk sederhana serta garisan halus, manakala pencahayaan berona hangat menambah keselesaan.
Hiasan dinding minimal turut menonjolkan gaya Muji yang menekankan kesederhanaan dan fungsi.
Pemilik rumah itu, Nur Syiffa Izzati Abdul Kadir berkata, dia memilih konsep minimalis dengan sentuhan gaya Muji yang menekankan penggunaan warna natural seperti putih, beige dan tona kayu.
“Pemilihan warna cerah memberi ilusi ruang yang lebih luas serta memudahkan padanan elemen dekorasi.
“Ia juga membuatkan saya lebih peka terhadap kebersihan kerana kotoran lebih mudah dilihat berbanding warna gelap.

“Konsep ini diaplikasikan di seluruh rumah termasuk ruang tamu, bilik dan dapur bagi mewujudkan suasana yang lebih harmoni,” katanya kepada CitaRasa.
Wanita berusia 27 tahun itu berkata, perjalanan dekorasinya diperoleh daripada TikTok, Instagram, Pinterest dan Lemon8.
Pada awalnya, fokus diberikan kepada warna putih, sebelum dipadankan dengan elemen gaya Muji yang semakin popular.
Dalam aspek susun atur, Nur Syiffa Izzati mengamalkan konsep ‘kurang itu lebih’ dengan memastikan setiap barangan mempunyai fungsi.
Kabinet tertutup turut menjadi pilihan kerana lebih kemas dan mudah diselenggara terutama dengan anak perempuan hampir berusia empat tahun.
Setiap perabot dipilih selepas menetapkan fungsi dan lokasi terlebih dahulu supaya ruang kekal teratur dan tidak serabut.

Disoal tentang penjagaan perabot berwarna cerah, suri rumah itu menjelaskan, anaknya sudah dibiasakan dengan peraturan dalam rumah.
“Saya ajar anak tentang peraturan kebersihan sebagai sebahagian daripada pembentukan disiplin untuknya.
“Saya juga sediakan bilik permainan khas untuk dia dan tetamu kecil yang datang ke rumah. Jadi, mereka akan bermain di situ.
“Untuk kebersihan, saya gunakan pembersih titik kotoran dan cecair pembersih khas sofa.
“Kotoran akan dibersihkan segera tanpa menunggu lama. Untuk pembersihan lebih menyeluruh, saya akan gunakan khidmat profesional bagi sofa dan karpet,” katanya.
Kebanyakan perabot dibeli melalui TikTok Shop dan Shopee, manakala sebahagian kecil diperoleh daripada Ikea. Selain itu, beberapa barangan diperoleh hasil program pemasaran affiliate dan sampel ulasan yang menjadi sumber pendapatan sampingan sebagai pencipta kandungan.
Pemilik akaun @nsyiffaizzati itu mengakui, dia tidak menyangka tindakan mempromosi barang-barang rumah di TikTok secara suka-suka sejak tiga tahun lalu, kini menjadi punca rezekinya.
“Saya buat video tentang barang-barang rumah sebagai perkongsian dengan kawan-kawan sahaja, tetapi tidak sangka pula menjadi satu rezeki saya.
“Kini, saya juga pencipta kandungan kerana banyak menerima permohonan ulasan produk daripada pelbagai penjual di TikTok,” katanya.














