fbpx

20 motosikal disita, 96 saman dikeluarkan dalam Op Mabuk, Samseng Jalanan

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Antara kenderaan diperiksa menerusi Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan, di sekitar Jalan Bunga Raya dan Bukit Ampang Saujana, Ampang Jaya, malam tadi.

AMPANG JAYA – Sebanyak 20 motosikal disita membabitkan kesalahan mengubah suai ekzos selain ditunggang warga asing menerusi Op Mabuk dan Op Samseng Jalanan, malam tadi.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya Asisten Komisioner Mohd Azam Ismail berkata, tindakan dilaksanakan oleh Bahagian Siasatan dan Penguatkuasaan Trafik, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ampang Jaya bermula pukul 10 malam.

Jelasnya, sebanyak 80 kenderaan diperiksa dalam operasi di sekitar Jalan Bunga Raya dan Bukit Ampang Saujana.

“Hasil pemeriksaan, 96 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan lazim iaitu tiada lesen memandu, cukai jalan tamat tempoh, nombor pendaftaran tidak mengikut spesifikasi, tiada cermin sisi dan ubah suai ekzos.

Selain itu, sebanyak 20 motosikal disita yang mana lapan daripadanya adalah motosikal ditunggang warga asing,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Mohd Azam berkata, semua kenderaan yang disita dibawa ke Balai Polis Trafik Ampang Jaya untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata, kes disiasat mengikut Seksyen 64(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan Seksyen 6(4) akta sama.

Katanya, pemeriksaan dalam operasi itu dibuat secara rambang dengan menumpukan kepada motosikal dan penunggang yang berpotensi melakukan aktiviti berbahaya.

Beliau menasihati pemilik kenderaan supaya tidak membenarkan individu tiada lesen memandu yang sah meminjam kenderaan kerana dikhuatiri berlaku kejadian tidak diingini yang boleh memberi kesan kepada pemilik. – KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI