fbpx
ARSENAL dan Manchester City masing-masing berpeluang untuk muncul juara Liga Perdana Inggeris musim ini.

Debaran menanti pemenang EPL

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

MALAM esok menyaksikan penantian para peminat Liga Perdana Inggeris bakal terlerai apabila perlawanan terakhir musim ini berlangsung melibatkan kesemua 20 pasukan untuk mencari pasukan manakah yang bakal dinobatkan juara selepas hampir 10 bulan saingan berlangsung.

Bagaimanapun, tumpuan pastinya terarah kepada persaingan antara Arsenal dan Manchester City yang berjaya mengheret perebutan gelaran musim ini sehingga ke penghujung apabila skuad kendalian Pep Guardiola memiliki kelebihan dua mata ketika ini, manakala pasukan bimbingan Mikel Arteta mengharapkan magis berpihak kepada mereka.

The Gunners mahu menamatkan penantian selama 20 tahun merangkul gelaran itu selepas musim lalu mereka terpaksa berputih mata dipintas saat akhir, sementara The Citizens pula cuba melakar sejarah baharu menjadi pasukan pertama menjuarai EPL empat kali berturut-turut.

Aksi terakhir nanti bakal menyaksikan Arsenal membuat perhitungan menentang Everton di Emirates dengan rekod pertemuan 10 perlawanan terakhir dilihat seimbang apabila mereka memenangi lima perlawanan dan satu seri, manakala empat lagi aksi berpihak kepada The Toffees.

Namun, dalam keghairahan untuk memburu gelaran juara, mereka perlu berwaspada dengan peningkatan prestasi skuad kendalian Sean Dyche itu yang berjaya meraih 13 mata daripada lima perlawanan terakhir dan keputusan selain daripada kemenangan pada aksi itu bermakna Arsenal terpaksa ‘memeramkan’ impian kejuaraan sekali lagi.

City pula yang dianggap pasukan yang penuh muslihat dan taktikal sekali lagi berjaya mempamerkan magis mereka selepas musim lalu mereka membuktikan ketinggalan lapan mata pada satu ketika tidak menjejaskan peluang untuk muncul juara dan musim ini mereka sekali lagi cuba melakukannya lagi.

Aksi terakhir City menentang West Ham United di Etihad menyaksikan segala kelebihan memihak kepada The Citizens termasuk rekod pertemuan yang menyaksikan mereka meraih tujuh kemenangan dalam 10 pertemuan terakhir dan hanya tewas sekali ketika aksi Piala Liga Inggeris, itu pun menerusi penentuan sepakan penalti.

Walau apapun, para peminat The Gunners pastinya meletakkan harapan yang cukup besar untuk seteru London mereka itu dapat membantu meraih kejuaraan kali ini dengan menyekat kemenangan City.

Namun, spekulasi yang cukup hangat diperkatakan adalah keinginan West Ham untuk memenangi perlawanan tersebut bagi membolehkan mereka meraih bayaran insentif £5 juta (RM30 juta) menerusi terma penjualan Declan Rice sekiranya pemain itu memenangi trofi EPL.

Bagaimanapun, terma berkenaan telahpun diubah atas permintaan Arsenal sendiri dan jumlah tersebut hanya akan dibayar oleh kelab itu sekiranya Rice membuat 60 peratus penampilan dalam saingan Liga Juara-Juara untuk tempoh lima tahun. Ia sekali gus menyebabkan The Gunners mungkin menyesal kerana tidak dapat memberikan tonik buat West Ham untuk turun dengan aksi bermati-matian.

Malah, selepas kejayaan City menewaskan Tottenham Hotspur Khamis lalu, analisis dan jangkaan menerusi super komputer Opta menunjukkan peningkatan peluang The Citizens untuk memenangi kejuaraan melonjak sehingga 84.3 peratus, namun tidak ada siapa yang berani menafikan peluang Arsenal kecuali selepas 90 minit berkenaan berakhir.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN