TERKENAL dengan landskap indah pantai putih, hutan pain dan kebun zaitun, wilayah Aegean di Turkiye sememangnya kaya dengan bahan semula jadi.
Kekayaan sumber alam di wilayah barat Turkiye itu menjadikan ciri-ciri gastronominya sangat unik berbanding wilayah lain.
Selain itu, kesan sejarah wilayah Aegean sebagai bekas jajahan Greek, Roman dan Uthmaniyah membuatkan masakan masyarakatnya memiliki campuran budaya-budaya tersebut.
Bersempena Minggu Masakan Turkiye (Turkish Cuisine Week) edisi ketiga, kedutaan Turkiye di Malaysia memperkenalkan makanan wilayah Aegean buat rakyat Malaysia.
Untuk itu, wakil media tempatan telah dijemput oleh pihak kedutaan untuk merasai masakan wilayah Mediterranean di negara berkenaan menerusi air tangan cef selebriti Turkiye, Ramazan Bingol.
Cef Ramazan merupakan Presiden Umum Persatuan Semua Restoran dan Pelancongan (TÜRES) dan pakar dalam seni kulinari Turkiye.

Menurut Duta Turkiye di Malaysia, Emir Salim Yuksel, wilayah Aegean terkenal dengan minyak zaitun berkualiti tinggi yang menjadi bahan penting dalam masakan mereka.
“Minyak zaitun bukan sahaja digunakan dengan banyak dalam masakan panas, tetapi juga sebagai bahan utama dalam salad, meze dan sesetengah pencuci mulut.
“Iklim sederhana di rantau Aegean menjadikan tanah subur lalu menghasilkan banyak buah-buahan segar, sayur-sayuran, herba dan produk tenusu sepanjang tahun,” katanya ketika ditemui di Sunway Le Cordon Bleu, Petaling Jaya, Selangor baru-baru ini.
Tiga hidangan wilayah Aegean diperkenalkan iaitu Izmir kofte (bebola daging kambing Izmir), tel kadayif (doh bakar dengan pistachio) serta kopi Turkiye.
Inti Izmir kofte diperbuat daripada daging cincang yang digaul bersama roti tanpa kerak basah sebelum ditambah bawang, herba pasli, garam dan rempah-ratus.
Hasil gaulan tersebut akan digoreng dengan minyak zaitun sebelum dibakar ke dalam ketuhan selama 20 hingga 25 minit pada suhu 200 darjah Celcius.
Untuk tel kadayif, keseimbangan tekstur rangup doh, rasa kacang pistachio dan kemanisan sirap menjadikannya pencuci mulut yang sangat sempurna.

Sama seperti kunafa, asas kadayif adalah doh filo yang dicincang sehingga berbentuk mi halus sebelum disalutkan dengan sirap manisan.
Namun, perbezaan antara kedua-duanya adalah kunafa ditambah dengan keju, manakala kadayif mengandungi mentega.
Untuk hidangan terakhir iaitu kopi Turkiye, Cef Ramazan menunjukkan cara bancuhannya yang unik mengikut tradisi masyarakat Turkiye.
Serbuk biji kopi dibancuh dalam periuk khas yang dipanggil ‘cezve’ atau ibrik dengan api perlahan.
Hal itu membolehkan kopi meresap ke dalam air secara perlahan-lahan, sekali gus menghasilkan rasa yang pekat dan aromatik.
Bersempena dengan Minggu Masakan Turki, masakan wilayah Aegean ditawarkan untuk orang awam di Four Seasons Hotel Kuala Lumpur.
Penganjuran bufet lebih 10 jenis masakan itu akan berlangsung dari 21 hingga 26 Mei ini.














