KUANTAN – Berita gembira buat semua guru apabila sebanyak enam inisiatif diumumkan kerajaan sempena Sambutan Hari Guru ke-53 dalam usaha memperkasakan guru selaras tema Hari Guru iaitu Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani.
Menteri Pendidikan Fadhlina Sidek berkata, Indeks Kesejahteraan Guru merupakan antara inisiatif yang akan dibangunkan bagi memastikan kesejahteraan guru sentiasa terpelihara dengan melihat kepada keseluruhan isu kesejahteraan guru.
“Indeks Kesejahteraan Guru ini kita akan bangunkan melihat kepada domain-domain tertentu dan memberikan tumpuan kepada bagaimana kesejahteraan guru dapat ditingkatkan dari semasa ke semasa.
“Jadi ia termasuk dalam kehidupan guru, kesejahteraan guru, melihat kepada kesihatan, apa lagi yang guru perlukan dan hak-hak guru yang pastinya akan dilihat keseluruhan,”katanya dalam sidang akhbar pada Sambutan Hari Guru Peringkat Kebangsaan Kali ke-53 di Dewan Pusat Konvensyen Sultan Ahmad Shah di sini hari ini.
Sambutan Hari Guru 2024 yang bertemakan Guru Jauhari Digital, Aspirasi Negara Madani itu dirasmikan Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi.
Dalam pada itu Fadhlina berkata, selaras dengan Dasar Pendidikan Digital inisiatif seterusnya menyaksikan kerajaan memperuntukkan sebanyak RM1 juta untuk melaksanakan kursus pemerkasaan teknologi kecerdasan buatan (AI) kepada kira-kira 500 orang guru.
Tambahnya inisiatif seterusnya pula adalah pelaksanaan kursus ‘Apple Teacher’ dengan kerjasama Apple Profesional Learning Specialist Malaysia bagi melatih dan membimbing 100,000 orang guru yang diiktiraf sebagai Apple Teacher.
“Dalam konteks memberikan pengiktirafan kepada guru-guru yang melonjakkan usaha beradaptasi dengan teknologi digital semasa, seramai 1,000 orang guru terpilih akan menghadiri kursus dan menerima sijil profesional digital serta diiktiraf sebagai Guru Jauhari Digital KPM.
“Selain itu dua geran penerbitan bernilai RM10,000 untuk masing-masing geran akan dianugerahkan untuk menerbitkan penulisan berkenaan ‘Tokoh Guru Madani’ dan Tokoh Kepimpinan Madani,”katanya.
Sementara itu katanya, dalam menghargai jasa guru inisiatif seterusnya adalah dengan menambah baik Program Cuti-Cuti Cikgu.
Katanya, program berkenaan akan diberikan penawaran lebih menarik melibatkan diskaun harga tiket penerbangan, penginapan, pengangkutan darat serta taman tema dengan kerjasama Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya dan Kementerian Pengangkutan.
Ujarnya antara rakan strategik yang terlibat dalam program ini adalah Malaysia Airlines, FireFly, Air Asia, Bank Rakyat, Wetland Putrajaya, Traveloka dan lain-lain. – KOSMO! ONLINE