fbpx

Blockout: Daiyan batal kontrak dengan jenama berkaitan Israel

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Daiyan mendedahkan dia sudah membatalkan kontrak dengan beberapa jenama antarabangsa yang berkaitan dengan Zionis.

PETALING JAYA – Penyanyi Daiyan Trisha mendedahkan sudah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama antarabangsa yang pernah bekerjasama dengannya sebelum ini.

Tidak mendedahkan secara terperinci jenama tersebut, Daiyan atau nama penuhnya Daiyan Trisha Mohd Nasaruddin, 30, berkata keputusan tersebut diambil kerana memandang isu boikot ini secara serius.

“Saya ingin maklumkan bahawa saya telah menamatkan kontrak dengan beberapa jenama (berkait dengan Zionis). Ada juga jenama yang saya akan hentikan kerjasama pada masa akan datang.

“Saya terima segala teguran dan memandang isu ini dengan serius,” katanya kepada Kosmo! Online hari ini.

Tambah pelantun lagu Langit itu, tindakannya itu juga sekali gus menunjukkan pendirian dan solidaritinya terhadap semua konflik yang berlaku di Palestin ketika ini.

“Ini adalah cara saya menunjukkan sokongan dan pendirian yang berterusan berkaitan isu di Palestin,” katanya lagi.

Dia bagaimanapun enggan mendedahkan secara terperinci mengenai penamatan kontrak tersebut termasuk berkaitan tindakan undang-undang dan penalti.

Sebelum ini, namanya menjadi sebutan apabila tersenarai sebagai selebriti Malaysia yang harus disekat menerusi kempen Blockout 2024.

Menyedari hal tersebut, dia menegaskan tidak pernah berhenti menyebarkan tentang isu Palestin dalam media sosialnya malah turut mendedahkan menderma RM100,000 kepada empat buat badan bukan kerajaan (NGO) yang setiap satunya berjumlah RM25,000.

Sejak minggu lalu, kempen Blockout 2024 tercetus dalam media sosial bagi memboikot selebriti dunia yang masih menjalinkan kerjasama dengan produk menyokong kekejaman Zionis di bumi Palestin.

Gerakan itu dibuat sebagai meluahkan rasa kecewa terhadap sikap segelintir selebriti yang tanpa rasa bersalah mempromosikan produk berkaitan atau menyokong Israel dalam media sosial milik mereka. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI