“SAYA membesar dikelilingi oleh wanita-wanita yang sentiasa berdandan dan berpakaian tradisional.
“Sebagai contoh, nenek saya sentiasa kemas dan bergaya dengan kebaya atau baju kurung dan kain batiknya setiap hari,” ungkap aktivis seni budaya tanah air, Juita Jalill.
Itulah antara titik tolak wanita yang berasal dari Pulau Pinang ini turut ‘terjebak’ dan cintakan pakaian tradisional.
Tidak sekadar cinta dan sukakannya, pakaian tradisional seperti kebaya dan baju kurung menjadi pilihan Juita untuk dikenakan hampir saban hari ke tempat kerja atau mana-mana acara.
Bagi aktivis seni budaya itu, apa yang digayakannya masih mempunyai nilai estetika dan kekal relavan walaupun berdepan dengan dunia moden ketika ini.
Bercerita lanjut tentang tercetusnya minat Juita dalam seni tata rias dan pakaian tradisional yang semakin dilupakan kini, ia bermula sejak Juita masih kecil.
“Kisah nenek saya sendiri, di dalam almarinya ada satu rak untuk kain batik yang dipakai di rumah, rak kedua untuk kain batik yang dipakai ke pekan dan rak selanjutnya, kain batik yang dikhaskan untuk pergi kenduri atau keramaian.
“Sama juga dengan barang kemasnya serta pelbagai jenis selendang koleksinya dan kain songket.
“Rambutnya yang ikal mayang disikat berkali-kali hingga berkilat, lalu disanggulkan dan mesti diselitkan bunga, tidak kira sama ada bunga ros atau melur atau apa-apa bunga yang sedang mekar di halaman rumahnya.
“Jadi, apabila bertahun-tahun melihat nenek sebegitu, minat dalam seni tata rias, pakaian tradisional dan gaya penampilan yang anggun dan bersesuaian telah dipupuk sejak saya kecil lagi sampailah kini,” kata personaliti ini yang sering menjadi penceramah dalam aspek-aspek seni budaya dan busana tradisional.
Ditanya apa antara jenis pakaian tradisional yang menjadi pilihan untuk digayakan sehari-hari, wanita berstatus nenek kepada tiga cucu itu berkata, sudah tentunya semua jenis baju kebaya dan baju kurung menjadi pilihannya.

Katanya, pakaian tersebut mempunyai pelbagai potongan dan berbeza antara satu sama lain seperti baju kurung Riau, kebaya Kota Bharu, kurung Kedah, kebaya Nyonya dan banyak lagi.
“Jika ditanya, selain semua itu, saya juga sangat gemar mengenakan ceongsam, saree, shalwar kameez dan sebagainya mengikut majlis yang bersesuaian.
“Saya tetap menghargai dan suka mengenakan pakaian daripada mana-mana kaum dan budaya Malaysia kerana pakaian mereka semuanya cukup menarik dan amat menyerlah dengan keunikan tersendiri.
“Contohnya, baru-baru ini saya dijemput sebagai juri jemputan bagi sebuah rancangan realiti yang diterbitkan di Kuching, Sarawak. Disebabkan saya berada di sana, saya pastikan yang saya memakai pakaian rekaan orang Sarawak termasuk aksesori,” katanya.
Berkongsi lanjut, Juita yang dilahirkan dalam kalangan keluarga yang penuh dengan kekayaan budaya dan tradisi kini berkhidmat sebagai pendidik profesional atau pemudah cara pembelajaran berkait modal insan yang diiktiraf oleh HRDC (Human Resource Development Corporation) di bawah Kementerian Sumber Manusia.
Katanya, dia berperanan menyediakan program yang boleh menghasilkan pengalaman transformatif untuk individu yang ingin mencapai pesona yang boleh dikagumi melalui keanggunan penampilan, kefasihan berkomunikasi dan peribadi yang karismatik.
Beritahunya, dia juga sering dijemput sebagai penceramah jemputan dalam seminar dan simposium yang memerlukannya untuk berkongsi nilai tambah kepada peserta dengan menghidupkan semula daya kreativiti minda, memupuk kesihatan emosi dan meningkatkan kesejahteraan mental mereka.
“Saya juga masih dipelawa untuk menjadi pengacara majlis atau master of ceremonies untuk pelbagai acara seperti majlis tahunan, persidangan, pelancaran rasmi, acara diraja dan juga majlis perkahwinan.
“Alhamdulillah baru-baru ini saya turut dijemput oleh sahabat lama saya, pereka tari tersohor, Pat Ibrahim ke satu malam anugerah seni serta pementasan yang terkemuka di Malaysia dan kod pakaian majlis tersebut adalah formal.
“Jadi, kami berdua duduk dan sepakat untuk berpakaian tradisi songket kerana pakaian tradisional mampu diketengahkan di ‘red carpet’ atau mana-mana acara sekalipun di dalam atau di luar negara,” katanya.
Selama 40 tahun menjadi pencinta dan penggemar koleksi pakaian tradisional sekali gus memperjuangkan tradisi tersebut, Juita mengakui satu kepuasan dan rasa bangga dapat sama-sama menghidupkan apa yang sebenarnya tidak pernah luput daripada budaya Malaysia.

Baginya, mustahil luput dan tenggelam dek arus semasa kerana kita sentiasa akan berpakaian tradisional untuk Hari Raya Aidilfitri, Deepavali, Tahun Baharu Cina, majlis perkahwinan dan sebagainya.
Bukti daripada hasil perjuangan kecilnya dalam budaya tradisional dan tradisi ini juga melayakkannya untuk menerima Anugerah Multifaceted Maestra Of The Year 2023 anjuran Malaysian Fashion, Modelling & Pageant Association pada 29 Februari lalu.
“Selain itu, di sebuah seminar yang saya hadir baru-baru ini yang berjudul Sustaining the Essence of Culture, Heritage and Tradition in Today’s Contemporary Fashion Landscape di Universiti Teknologi Mara (UiTM), Shah Alam, saya berpeluang berkongsi bahawa fesyen tradisional tidak mungkin jadi ‘old fashioned’ atau ‘out of date’ sekiranya kita sentiasa ketengahkannya dengan cara tersendiri dan kepelbagaian yang sesuai,” ujarnya yang nekad untuk tetap memilih berbusana tradisional saban hari selagi nadinya terus berdenyut.
Berkongsi sedikit saranannya kepada bakal atau pencinta seni tradisional sepertinya, Juita berkata, carilah penggiat-penggiat seni tradisi dan tokoh budaya negara.
Katanya, di negara kita sendiri, ramai adiguru dan pakar yang khusus dalam tenunan, telepuk, songket, kelingkam, ikat loseng dan sebagainya.
Ujarnya, ramai juga pengumpul barang-barang dan busana klasik yang suka berkongsi pengalaman dan menceritakan mengenai koleksi mereka melalui apa sahaja platform.
“Di Malaysia sendiri, kita ada beberapa persatuan-persatuan penggiat dan penggemar seni, budaya dan kraf tangan negara yang boleh anda sertai.
“Banyak sungguh ilmu dan pencerahan yang boleh didapati melalui persatuan-persatuan yang sahih dan aktif. Lihat juga laman-laman seni yang sentiasa tawarkan kelas-kelas hasil tangan tradisional atau kelas perkongsian ilmu. Bila kita kenal dan pelajarinya, maka kita faham dan pandai hargai peninggalan datuk nenek kita. Sertailah dan mula kumpulkan perhiasan, pakaian, fabrik dan sepertinya perlahan-lahan.
“Cabarannya ramai yang kata mahal, ya memang tidak dapat dinafikan ia memang mahal kerana budaya dan tradisi kita bukan murahan.
“Every day is a celebration. Pakailah dengan yakin dan penuh kasih sayang. Kalau bukan kita yang menghargai kepunyaan kita, siapa lagi?
“Takut orang kata kita pelik? Orang itu sebenarnya yang pelik sebab tak faham dan tak mampu menghargai. Kita hidup hanya sekali, jadi raikan kehidupan anda,” katanya menutup bicara.














