fbpx

PRK Kuala Kubu Baharu: Dakwa salah guna aset kerajaan, PN digesa buat laporan serta-merta

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Anthony Loke ketika ditemui di sebuah akademi memandu di Kuala Kubu Baharu hari ini. - Foto oleh M FIRDAUS M JOHARI/ KOSMO!

HULU SELANGOR – Perikatan Nasional (PN) digesa melaporkan kepada pihak berkuasa serta-merta susulan dakwaan Pakatan Harapan (PH) menyalahgunakan aset dan jentera kerajaan bagi meraih sokongan pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Kuala Kubu Baharu.

Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke Siew Fook berkata, tindakan PN memberikan amaran sebelum pilihan raya Sabtu ini menandakan seolah-olah calon gabungan itu akan kalah.

“Kita menjalankan kempen kita dengan teratur mengikut undang-undang. Tiada apa-apa unsur rasuah (kepada pengundi). Mana-mana pihak yang tidak puas hati boleh buat petisyen selepas pilihan raya.

“Tetapi untuk (parti) yang bertanding sebelum pilihan raya berlaku, dia kata dia akan bawa petisyen. Ini agak aneh. Dia rasa tak boleh menang pilihan raya, dia nak cabar pula dalam petisyen,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas mengadakan lawatan di sebuah akademi memandu di Kuala Kubu Baharu, di sini hari ini.

Sebelum ini, PN berhasrat memfailkan petisyen susulan dakwaan jentera PH menyalahgunakan aset kerajaan dengan mengadakan program dan penyaluran bantuan dalam kawasan pilihan raya.

Dalam pada itu, Anthony Loke turut menafikan beliau menyalahgunakan jentera kerajaan dan menyatakan kehadiran beliau pada program hari ini merupakan jemputan daripada akademi berkenaan.

“Seperti hari ini kita datang sebab jemputan akademi, bukan program kita. satu bendera pun kita tak letak. (Soal jentera), ia bukannya menyalahgunakan.

“Saya ada tugas rasmi hari ini, bukan saya datang Kuala Kubu Baharu sepanjang hari. Selepas program rasmi, sudah tentu pemandu mengikut saya membawa saya ke sini. Ini adalah suatu kebiasaan bukan menyalahgunakan,” jelasnya.

Sehubungan itu, Anthony Loke yang juga Menteri Pengangkutan berkata, mana-mana pihak boleh membuat aduan kepada pihak berkuasa sekiranya beranggapan tindakan tersebut melanggar undang-undang.

“Pemantau pilihan raya ada dan Suruhajaya Pencegahan Rasuah malaysia (SPRM) ada. Kalau tak puas hati, buatlah laporan. Tapi yang aneh, kalah baru buat.

“Kalau mereka menang maknanya kita tak salah ke? Itu yang saya rasa pelik. Kalau betul dia kata kita ada buat kesalahan, sepatutnya dia (laporkan) sekarang. Bukannya tunggu selepas pilihan raya,” tambahnya. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI