fbpx

Mangsa pokok tumbang layak terima Perkeso

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Kejadian pokok tumbang yang telah mengorbankan satu nyawa di Jalan Sultan Ismail, semalam. Foto oleh SYAKIR RADIN / KOSMO!

PETALING JAYA – Pemandu e-hailing yang terlibat dalam insiden pokok tumbang di Jalan Sultan Ismail, Kuala Lumpur baru-baru ini layak menerima Faedah daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso).

Menteri Sumber Manusia, Steven Sim Chee Keong ketika mengunjungi mangsa, Abdul Hayyi Al Hakimi Nazli, 26, di rumah ibu saudaranya memberitahu, beliau adalah pencarum Perkeso bawah Akta Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri 2017 (Akta 789) dan layak membuat tuntutan.

“Abdul Hayyi cedera dalam kejadian semasa dalam perjalanan untuk menghantar penumpang ke Wisma Hong Leong, Jalan Perak Kuala Lumpur.

“Akibat kejadian itu, beliau mengalami kecederaan pada bahagian kepala, dada termasuk lengan serta telah mendapatkan rawatan di Hospital Kuala Lumpur dan kini sedang berehat di rumah ibu saudaranya di Putrajaya,” katanya dalam satu kenyataan semalam.

Steven Sim menjelaskan bahawa Abdul Hayyi adalah pencarum Perkeso yang aktif dan mencarum di bawah Skim Keselamatan Sosial Pekerjaan Sendiri (SKSPS).

“Mangsa layak menerima Faedah Hilang Upaya Sementara iaitu cuti sakit dengan kadar RM41.33 sehari serta boleh memohon tuntutan faedah perubatan serta rawatan rehabilitasi,” katanya.

Dalam ziarah prihatin itu juga beliau telah menyampaikan sumbangan wakallah dan kotak prihatin Perkeso kepada Abdul Hayyi.

Beliau juga meluahkan rasa syukur kerana Kementerian Sumber Manusia (KESUMA) menerusi Perkeso dapat memberikan bantuan berikutan Abdul Hayyi merupakan seorang pencarum SKSPS.

Beliau turut berterima kasih kepada pihak Grab Malaysia yang telah menaja caruman penggiat gig e-hailing seperti Abdul Hayyi sebanyak 10 peratus menerusi padanan caruman skim pekerjaan sendiri dibawah inisiatif Belanjawan 2024 yang telah melayakkan pencarum dilindungi Perkeso.

“Individu bekerja sendiri amat digalakkan untuk mencarum dibawah SKSPS sebagai jaringan keselamatan sosial mereka, berikutan malang yang tidak berbau dan dengan perlindungan ini ia sekurang-kurangnya berupaya memberi sokongan kewangan sekali gus meringankan beban ke atas pencarum atau waris sekiranya ditimpa bencana atau musibah,” ujarnya.

Terdahulu, turut hadir pada ziarah prihatin itu ialah Menteri Wilayah Persekutuan, Dr. Zaliha Mustafa, Datuk Bandar Kuala Lumpur, Datuk Seri PMgr Sr. Kamaruzzaman Mat Salleh, Presiden Perbadanan Putrajaya, Datuk TPr Fadlun Mak Ujud serta Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Perkeso, Datuk Seri Dr. Mohammed Azman Aziz Mohammed. – KOSMO! ONLINE

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI