fbpx

Dakwaan aliran dana Iran, Hamas: KDN perjelas pendirian negara pada Brian Nelson

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin
Saifuddin ketika berucap di Majlis Penyampaian Anugerah Perkhidmatan Cemerlang 2023 AADK hari ini. Foto:IQBAL ROSLI/KOSMO!

KAJANG – Menteri Dalam Negeri (KDN), Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berjumpa Setiausaha Perbendaharaan bagi Keganasan dan Perisikan Kewangan Amerika Syarikat (AS), Brian Nelson dan delegasinya hari ini.

Beliau berkata, pertemuan berkenaan adalah bagi mendengar maklumat serta perincian dari AS berhubung dakwaan wujud aliran dana ke Iran dan proksinya, Hamas melalui sistem kewangan Malaysia.

Katanya, perincian terhadap beberapa perkara itu termasuklah berkait pertubuhan, individu atau syarikat di Malaysia telah dibentangkan bagi proses verifikasi.

“Di dalam konteks keselamatan nasional sekuriti, AS sentiasa meletakkan keutamaan kepada perkara tentang terorisme dan ‘financing terrorism’.

“Sebagai respon di pihak kita, saya tegaskan bahawa menjadi polisi kita untuk mengenal pasti kalau sekatan ini dikemukakan oleh UN Security Council.

“Maknanya, dalam kata lain, saya menyebut bahawa menjadi pendirian dasar kita bahawa kita tidak mengiktiraf sekatan yang dibuat oleh individu. Dalam konteks itu AS menghormati pendirian kita,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditanya pemberita di Majlis Anugerah Perkhidmatan Cemerlang (APC) 2023 Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Ibu Pejabat AADK Kajang, di sini, hari ini.

Saifuddin hadir hari ini bagi menyempurnakan majlis hari penyampaian anugerah kepada 467 pegawai AADK.

Mengulas lanjut berkenaan dakwaan itu, Brian Nelson turut bertanyakan tentang komitmen negara terhadap usaha membanteras tentang keganasan kewangan.

“Kita sebut dari sudut komitmen serantau, di peringkat ASEAN, global ataupun peringkat polisi di peringkat KDN, bahawa kita mempunyai strategik yang sangat jelas tentang dasar dana haram, pengubahan wang haram seperti digariskan berpandukan piawaian antarabangsa.

“Standard sama ada di peringkat Basel 2 atau Basel 3 (indeks risiko pengubahan wang haram dan pembiayaan pengganas), mereka jelas tentang perkara itu dan mereka menghargai tentang usaha yang telah kita buat.

“Perkara ketiga, saya ulangi kita sentiasa bersikap terbuka untuk berurusan dan usaha untuk menguruskan perkara ini harus bersifat secara menyeluruh dengan kerjasama semua pihak,” ujarnya.

Katanya lagi, sebagai sebuah negara yang menjunjung prinsip kedaulatan undang-undang, pihaknya akan memberi kerjasama sepenuhnya rentetan isu yang dibangkitkan ini.

“Jadi, saya sifatkan ini sebagai pertemuan yang sangat produktif. Sementara mereka membentangkan kes mereka, saya berpeluang menyatakan pendirian rasmi di pihak dari perspektif keselamatan,” jelasnya. -KOSMO! ONLINE.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI