fbpx
MARQUEZ masih gagal meriah kemenangan dalam tiga perlumbaan awal musim dan bergelut menyesuaikan diri bersama jentera. - AFP

MotoGP: Marquez akui kelemahan sendiri

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AUSTIN – Marc Marquez mengakui kelemahan diri menjadi punca dia masih gagal melakar kemenangan selepas tiga perlumbaan awal musim MotoGP 2026.

Juara dunia bertahan itu berkata, dia belum mencapai tahap terbaik meskipun masih mampu bersaing dalam kelompok hadapan pada setiap perlumbaan.

Menurut Marquez, masalah utama yang dihadapinya ketika ini adalah kesukaran mengawal jentera Ducati GP26 terutama pada beberapa pusingan awal.

Katanya, situasi itu berlaku apabila tayar masih baharu menyebabkan motosikal menjadi lebih agresif dan sukar dikendalikan.

“Masalahnya adalah saya, bukan jentera. Saya perlu faham bagaimana untuk perbaiki beberapa pusingan pertama.

“Saya seperti menunggang dalam posisi yang tidak semula jadi. Saya masih laju, tetapi tidak cukup untuk membuat perbezaan,” katanya.

Marquez yang mendominasi permulaan musim lalu dengan lima kemenangan daripada enam perlumbaan, kini hanya meraih satu kemenangan setakat ini menerusi perlumbaan pecut di Grand Prix Brazil.

Pada aksi Grand Prix Amerika Syarikat di Litar Americas (COTA), pelumba itu gagal memanfaatkan kelebihan di litar kegemarannya apabila terjatuh dalam perlumbaan pecut sebelum sekadar menamatkan perlumbaan utama di tempat kelima.

Menurutnya, dia juga masih belum menemui posisi tunggangan yang selesa, sekali gus menjejaskan kemampuannya untuk mencipta kelebihan berbanding pencabar lain.

Musim ini juga menyaksikan Marquez masih dalam proses pemulihan selepas mengalami kecederaan tulang selangka pada penghujung musim lalu, yang sedikit sebanyak menjejaskan tahap kecergasannya. – AGENSI

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN