RAKYAT Malaysia disaran mengamalkan perbelanjaan berhemah dan meningkatkan simpanan jika konflik Amerika Syarikat (AS), Israel dan Iran berlarutan kerana berpotensi memberi kesan kepada kos sara hidup melalui kenaikan harga minyak dunia dan gangguan perdagangan global.
Pakar ekonomi Fakulti Pengurusan , Universiti Teknologi Malaysia, Prof. Dr. L. Nanthakumar berpandangan krisis di Asia Barat boleh memberi kesan jangka pendek dan panjang kepada ekonomi global termasuk Malaysia, bergantung kepada tempoh konflik dan tahap gangguan terhadap laluan perdagangan utama minyak dunia.
Katanya, antara risiko utama adalah kemungkinan lonjakan harga minyak mentah sekiranya berlaku gangguan di Selat Hormuz iaitu laluan strategik yang mengendalikan penghantaran 20 hingga 30 peratus minyak dunia.
“Jika laluan itu terjejas, bekalan minyak dunia boleh terganggu sekali gus menyebabkan harga bahan api meningkat. Kenaikan itu berpotensi memberi kesan termasuk kepada logistik, penerbangan, pembuatan dan penjanaan tenaga yang bergantung kepada bahan api.
“Keadaan itu juga boleh mencetuskan fenomena ‘inflasi tolakan kos’ apabila syarikat pengeluar meningkatkan harga barangan bagi menampung kenaikan kos operasi,” katanya.
Bagaimanapun, kesan kenaikan bahan api mungkin tidak dirasai secara langsung ketika ini memandangkan kerajaan masih mengekalkan subsidi petrol RON95. Namun, diesel dan petrol RON97 mungkin mengalami kenaikan kerana bergantung kepada harga pasaran global.
Jelasnya, konflik Asia Barat juga boleh memberi kesan kepada industri penerbangan dan pelancongan sekiranya operasi lapangan terbang utama di rantau itu terganggu.Lapangan terbang di Dubai dan Doha misalnya merupakan hab transit penting bagi penerbangan ke benua Eropah dan Afrika.
Sekiranya operasi di hab itu terjejas, ia boleh mengurangkan aliran pelancong dari negara Arab ke Asia Tenggara termasuk Malaysia, sekali gus memberi kesan kepada sasaran pelancongan sempena Tahun Melawat Malaysia 2026.
“Situasi itu boleh menjejaskan rantaian ekonomi melibatkan hotel, agensi pelancongan dan perkhidmatan pengangkutan. Walaupun Malaysia pengeluar minyak dan gas, negara masih mengimport sebahagian produk petroleum yang ditapis menyebabkan ekonomi domestik tetap terdedah kepada turun naik harga global,” ujarnya.
Dalam masa sama, katanya, harga minyak lebih tinggi boleh memberi manfaat kepada hasil negara melalui peningkatan pulangan sektor petroleum yang menyumbang kepada pertumbuhan Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK).
Namun pakar ekonomi berpandangan manfaat itu mungkin tidak mampu sepenuhnya mengimbangi tekanan kos sara hidup yang bakal ditanggung rakyat jika harga barangan meningkat.
Ketidaktentuan ekonomi global akibat konflik juga berpotensi menjejaskan nilai ringgit, aliran pelaburan langsung asing dan prestasi pasaran saham jika pelabur berhati-hati.
Sehubungan itu, rakyat disaran mengamalkan disiplin dengan mengutamakan perbelanjaan keperluan berbanding kehendak dan menambah simpanan bagi menghadapi kemungkinan kenaikan kos sara hidup.
Peniaga kecil pula digalakkan memanfaatkan platform digital bagi mengurangkan kos operasi dan memperluaskan pasaran tanpa bergantung sepenuhnya kepada perniagaan fizikal.
Nanthakumar menambah, langkah berjimat dan pengurusan kewangan yang lebih bijak mampu membantu rakyat menghadapi sebarang ketidaktentuan ekonomi sekiranya konflik geopolitik tersebut berpanjangan. -KOSMO! ONLINE














