fbpx
Sering dianggap hobi yang membazir masa dan wang ringgit, masyarakat perlu mengubah persepsi tentang memancing dalam situasi ekonomi mencabar ini. – Gambar hiasan

K2

Memancing bantu kurangkan kos sara hidup rakyat

Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram
Share on linkedin

AKTIVITI memancing semakin mendapat tempat dalam kalangan rakyat Malaysia sejak beberapa dekad yang lalu.

Ramai yang skeptikal dan ‘sinis’ tentang aktiviti memancing, bahawa memancing adalah aktiviti membazir wang ringgit dan masa.

Ini kerana, alatan memancing yang dilaburkan semuanya mahal, malah terpaksa menunggu berjam-jam untuk menangkap ikan.

Namun, sedarkah para pembaca bahawa aktiviti memancing boleh membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar?

Ikan yang ditangkap boleh dijadikan lauk untuk makan malam. Malah, sekiranya mendapat ikan yang banyak, ia boleh dijadikan lauk untuk sepanjang minggu.

Ada juga yang memproses ikan, seperti membuat pekasam lalu menjualnya. Wang yang diperoleh sedikit sebanyak membantu perbelanjaan dapur.

Ikan yang dipancing membekalkan sumber protein seisi keluarga. Ikan yang dipancing juga merupakan ‘ikan percuma’ yang diperoleh dari perairan umum seperti tasik, bekas lombong, sungai, muara, persisiran pantai, kawasan bendang serta tali air.

Sementara itu, bagi ikan yang ditangkap di ‘kolam pancing berbayar’, ia boleh dianggap sebagai berbaloi. Ini kerana, ‘nilai ikan’ yang diperoleh melebihi ‘nilai bayaran masuk’ kolam pancing tersebut.

Begitu juga bagi pemancing yang memburu ‘hadiah lumayan’ dalam pertandingan memancing. Mereka berpeluang untuk membawa pulang kereta, motosikal, televisyen serta barangan lain.

Banyak kajian di negara maju mendapati bahawa jumlah pendapatan seseorang mempengaruhi tahap pengambilan ikan yang dipancing terutamanya sebagai makanan (lihat Burger & Campbell, 2008).

Oleh itu, aktiviti memancing dikatakan dapat membantu mengurangkan kos sara hidup rakyat, terutamanya dalam situasi ekonomi mencabar.

Memancing sedikit sebanyak dapat meringankan beban perbelanjaan masyarakat bandar, terutamanya mereka yang berada dalam kumpulan B40 dan M40.

Aktiviti memancing perlu digalakkan dalam kalangan masyarakat terutama generasi muda negara.

Ia perlu digalakkan dengan ‘teknik’ serta ‘etika’ yang betul semasa memancing (lihat Wightman & rakan, 2008).

Kes tular (viral) yang berlaku kebelakangan ini membuka mata banyak pihak. Kes mengebom ikan dan menuba ikan (meracun ikan) untuk mendapatkan ikan yang banyak, merupakan teknik yang ‘tidak boleh diterima’ dalam dunia memancing. Ia juga merupakan kesalahan dari segi undang-undang.’

Penangkapan ikan bagaimanapun perlu dilakukan secara beretika. – gambar hiasan

Mengebom dan menuba bukan sahaja membunuh pelbagai ‘saiz ikan’ dalam ‘jumlah’ yang banyak (en masse), malah boleh mengakibatkan kepupusan ikan di perairan negara.

Berbeza dengan aktiviti memancing, pemancing hanya membawa pulang ikan yang perlu sahaja. Selebihnya mereka akan ‘tangkap-dan-lepas’ (catch-and-release).

Jangan bimbang, kajian mendapati bahawa ikan yang dilepaskan semula dengan teknik yang betul akan pulih seperti sedia kala (lihat Cooke & Schramm, 2007).

Selain itu, pemancing juga membawa pulang ikan daripada ‘saiz tertentu’ sahaja untuk dijadikan hidangan (tidak terlalu kecil, tidak terlalu besar).

Malah, pemancing juga akan membawa balik ‘jumlah ikan’ yang mencukupi sahaja untuk diberi kepada rakan serta jiran (tidaklah terlalu banyak).

Aktiviti memancing dengan teknik dan etika yang betul perlu dititik berat oleh masyarakat secara keseluruhannya.

Ini terutama bagi jabatan yang mengurus sumber perikanan, sistem pendidikan, serta pempengaruh memancing (fishing influencer).

Setiap perkataan dan tindakan mereka sangat kritikal dalam membentuk golongan pemancing yang positif.

Sumber ikan juga perlu diurus dengan baik. Sumber ikan juga perlu dipastikan cukup di perairan awam oleh jabatan yang mengurus.

Ini kerana, sumber ikan merupakan sumber umum (common resource) yang perlu dikongsi oleh pelbagai pihak termasuk nelayan, masyarakat setempat serta pemancing.

Aktiviti ‘pelepasan benih ikan’ adalah usaha terpuji yang banyak dilakukan oleh jabatan yang mengurus sumber perikanan.

Benih ikan yang dilepaskan merupakan ikan tempatan dan bukannya ikan pendatang. Benih yang dilepaskan juga mesti mencapai saiz tertentu agar ia dapat membesar, sebelum boleh ditangkap oleh pemancing di kemudian hari (put-grow- and-take).

Perkara lain yang perlu diurus termasuklah memelihara ‘habitat ikan’ serta mengawal pencemaran air.

Ini perlu dilakukan oleh pelbagai agensi, termasuklah pihak berkuasa setempat dan jabatan yang mengurus sumber air.

Habitat yang sesuai dapat membantu perkembangan populasi ikan serta menyediakan ‘stok ikan’ yang mencukupi.

Kesemua ini kedengaran mudah untuk dilaksanakan, akan tetapi memerlukan usaha serius dari pelbagai pihak, termasuklah jabatan yang mengurus sumber perikanan, agensi tempatan, serta pemancing yang mengamalkan teknik dan etika yang betul ketika memancing.

Sumber ikan yang mencukupi, sudah pasti dapat membantu meringankan kos sara hidup pemancing dan rakyat, terutama bagi mereka yang tinggal di kawasan bandar.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

TERKINI

BERITA BERKAITAN